Ibu Cristiano Ronaldo antara puluhan ribu yang hadir di Old Trafford untuk menyaksikan debut kedua bintang Portugal itu bersama Manchester United.
Maria Dolores dos Santos Aveiro nyata tidak dapat membendung emosi apabila kelihatan sebak meraikan jaringan kedua anaknya ketika membantu Manchester United menewaskan Newcastle United pada malam tadi.
Karier profesional Ronaldo sememangnya bermula di Sporting Lisbon. Namun bakat pemain itu berkembang dan diasah di Old Trafford sehingga berjaya memenangi anugerah Ballon d’Or pertamanya pada 2008.
Ronaldo’s Mum behind me after him scoring, my heart cannot cope ❤️🇾🇪 pic.twitter.com/klzl3Ysafm
— Ambo💫 (@Ambo_91) September 11, 2021
Selepas 12 tahun berkenala ke Real Madrid dan Juventus serta meraih pelbagai trofi, kepulangan Ronaldo ke Old Trafford buat kali kedua ibarat sirih pulang ke gagang.
Kepulangan Ronaldo kali kedua ke Old Trafford juga bermula dengan debut yang diimpikannya.
Pemain berusia 36 tahun itu menjaringkan satu gol pada setiap babak perlawanan sebelum Bruno Fernandes dan Jesse Lingard melengkapkan kemenangan 4-1.
Gambar ibunya menyambut jaringan Ronaldo dengan tangisan kemudiannya tersebar di media sosial.
Ronaldo sendiri sempat menulis mesej penuh emosi selepas perlawanan pada malam tadi.
“Kepulangan saya ke Old Trafford adalah peringatan mengapa stadium ini dikenali sebagai “The Theatre of Dreams.” Pada saya, ia adalah arena yang sentiasa penuh dengan magis di mana anda boleh mengejar impian yang telah anda sendiri tentukan.
“Bersama-sama rakan sepasukan yang lain, dan sokongan padu kami perolehi dari penyokong, kami akan menempuhi cabaran dengan penuh keyakinan dan optimis kita semua akan meraika sesuatu pada penghujung musim.
“Sangat berbangga kerana dapat kembali ke Manchester United dan beraksi di Premier League sekali lagi. Tetapi perkara terutama, saya amat gembira untuk pasukan ini!