Selepas lapan minggu berturut-turut sehingga minggu ke-19, Terengganu FC konsisten di tangga kedua Liga Super, mereka akhirnya terpaksa turun sehingga ke kedudukan ke-4 menuju ke hujung saingan liga.
Apa sebenarnya yang berlaku kepada Terengganu? Mereka tewas tiga perlawanan berturut-turut – bermula dengan tewas 1-2 kepada Kedah Darul Aman FC, diikuti KL City FC (0-1) dan Johor Darul Ta’zim (0-1).
Tidak dinafikan mereka melalui jadual yang sukar, berdepan kelompok atasan liga, namun Terengganu adalah sebuah pasukan yang dilihat kukuh. Jadi, kekalahan bertubi-tubi ketika ini agak sukar untuk diterima.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS21
Kedah Darul Aman FC kembali ke tangga kedua liga. #LigaSuper2021 pic.twitter.com/50Ce1FXRyY
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 8, 2021
Tirai Liga Super 2021 akan dilabuhkan malam nanti dan peluang mereka untuk ke Piala AFC kian samar.
Begitupun, peluang mereka masih ada. Jika Kedah tumbang berdepan Melaka United di Stadium Darul Aman, mereka perlu menang ke atas Penang FC. Tetapi mereka perlu fokus berdepan Penang FC terlebih dahulu.
Jika menang dan ada rezeki, sudah tentu mereka akan memintas Kedah dan Penang FC untuk memenangi tiket untuk ke saingan peringkat Asia. Ia sedikit sukar, namun ia tidak mustahil untuk berlaku malam ini.
Masalah utama yang perlu diselesaikan pengendali Nafuzi Zain adalah bagaimana untuk skuadnya kembali menemui sentuhan jaringan. David da Silva yang diharapkan dilihat hanya menghadirkan impak minima.
Hanya satu gol dalam tiga perlawanan terakhir, nampak masalah di jentera serangan agak menggusarkan.
David da Silva telah meledak tujuh gol dalam 14 penampilannya bersama Sang Penyu. Minggu lalu, beliau direhatkan ketika berdepan juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT). Adakah beliau kembali segar untuk aksi ini?
Ataupun Terengganu boleh mempertaruhkan penyerang skuad simpanan, Jordan Mintah. Penyerang itu memiliki kualiti yang baik untuk menghadirkan jaringan gol sekiranya diturunkan. Anda mahu Jordan Mintah?
Rata-rata penyokong Terengganu juga mahukan penyerang itu menjadi penyerang utama dengan prestasi mengagumkannya bersama TFC II selain memiliki rekod empat gol dalam enam aksi di Liga Super.
Tetapi menurut Nafuzi Zain, beliau akan membawa David da Silva untuk aksi penting berdepan Penang FC.
Memetik katanya di KOSMO, “Saya harap barisan pemain ambiI peIuang ini dan beraksi seperti daIam finaI. WaIaupun mereka menang 4-1 pada Mei IaIu, ia bukan haIangan untuk kita buktikan kemampuan.”
“Tiada yang mustahiI daIam boIa sepak, macam-macam boIeh berIaku termasuk sesuatu yang tidak dijangka dan saya percaya pada keajaiban. Apa yang penting kami harus menang. Jika tewas, TFC mungkin akan jatuh sehingga ke kedudukan keIima jika SeIangor menang,” ungkapnya lagi sambil berkata ini maruah mereka.
Menuju ke hujung saingan Liga Super, mungkin aksi Terengganu dan Penang FC akan menjadi jamuan mata majoriti penyokong untuk melihat pertaruhan taktikal terakhir antara Nafuzi Zain dan Tomas Trucha.
Siapa pun yang dipertaruhkan, perlawanan ini memang ibarat aksi final buat kedua-dua pasukan. Penang FC berada dalam prestasi di luar jangkaan sehingga dapat bersaing rapat bersama Kedah dan Terengganu. Terengganu wajib bangkit agar tidak terlihat seakan-akan mereka sengaja melepaskan peluang ke Piala AFC.