Pasukan yang sedang memburu tempat kedua dalam saingan Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) tetap mengamalkan langkah berjaga-jaga apabila menentang pasukan tercorot – UiTM FC.
Menurut pemainnya iaitu Syazwan Zainon, walaupun UiTM sudah tersingkir dari saingan Liga Super pada musim ini namun mereka masih tidak boleh memandang enteng keupayaan pasukan tersebut.
Kata Syazwan, UiTM mempunyai pelbagai sebab untuk terus memberikan cabaran kepada pasukan mereka dan menyukarkan KDA untuk mendapatkan kemenangan.
Turun tanpa tekanan
Jelas Syazwan, UiTM kini turun tanpa tekanan selepas mereka sudah sah tersingkir ke Liga Premier musim depan.
“Berdasarkan pengalaman, pasukan yang berada di bawah sering kali akan beraksi dengan bersungguh-sungguh apabila bertemu dengan pasukan yang berada di tangga atas,” kata Syazwan menerusi MFL.
Dalam masa yang sama, Syazwan turut menegaskan peningkatan prestasi pasukan UiTM turut akan memberikan cabaran sukar buat KDA.
UiTM dilihat mengalami peningkatan prestasi dalam beberapa perlawanan terakhir liga setakat ini.
“aya sudah mengkaji corak permainan UiTM semasa menentang PJ City baru-baru ini, saya fikirkan lawan punyai skuad yang baik tambahan mereka kebelakangan ini sudah meraih dua kemenangan.”
Kemenangan ke atas UiTM boleh dilihat sebagai pemangkin semangat buat KDA dalam misi mereka merebut gelaran naib juara liga.
Mereka kini berebut dengan Penang dan Terengganu untuk slot tersebut yang menawarkan tempat ke Piala AFC.