Jenama sukan terkenal, PUMA kini telah disahkan bakal menjadi pengeluar bola baharu bagi saingan Liga Malaysia.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Malaysian Football League (MFL), perjanjian yang dipersetuju oleh kedua-dua belah pihak ini menyaksikan PUMA akan menyediakan bola perlawanan sehingga 2024.
Bola perlawanan tersebut akan disediakan oleh PUMA dalam semua pertandingan dibawah kendalian MFL.
Edisi khas Piala Malaysia
Perjanjian ini mempunyai nilai signifikannya yang tersendiri apabila buat pertama kalinya PUMA akan menaja liga bola sepak di Asia sebagai pengeluar bola perlawanan rasmi.
Ianya akan menaikkan lagi profil PUMA di Asia selepas mereka memahat nama di Eropah terutamanya England dan Sepanyol.
Liga Malaysia kini sebaris dengan saingan English Football League (EFL) serta La Liga yang turut menggunakan bola keluaran PUMA.
Apa yang menarik, PUMA yang bakal memulakan penajaan mereka pada saingan Piala Malaysia 2021 akan mengeluarkan bola khas sempena kejohanan itu yang bakal bermula pada 29 September ini.
Mereka akan menghasilkan bola dengan rekaan khas bersempena dengan edisi ke-100 kejohanan bola sepak tertua di Asia itu.
Menurut Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, perjanjian ini membuktikan Liga Malaysia kini lebih dipandang tinggi oleh pihak luar.
“Tajaan ini menandakan kepercayaan dan keyakinan jenama sukan global PUMA terhadap jenama dan kualiti Liga Bola Sepak Malaysia yang menyaksikan peningkatan dari tahun ke tahun.”
Di pihak PUMA pula, perjanjian ini membuktikan yang bola sepak sentiasa menjadi keutamaan jenama tersebut.
“Selaras dengan gerakan global Faster Football yang baharu dilancarkan, kami percaya bahawa kerjasama ini akan membuktikan komitmen kami untuk mendorong komuniti bola sepak tempatan bergerak ke hadapan dan menjadi inspirasi bagi semua anak muda Malaysia.”
“Tujuan utama kami adalah untuk mengatasi halangan & cabaran, dengan mempercepatkan permainan menerusi produk inovatif – dan ini adalah dorongan kami dalam mencapai Faster Football,” kata Steven Tan, Pengurus Besar PUMA Malaysia.
Bola rasmi Liga Malaysia ini akan diedarkan menerusi Active Sports.