Bekas pengurus legenda Arsenal, Arsene Wenger beranggapan keputusan Manchester United untuk membawa pulang bintang Portugal, Cristiano Ronaldo ke Old Trafford tidak 100 peratus rasional.
The Red Devils mencapai persetujuan untuk menandatangani penyerang berusia 36 tahun itu dari Juventus pada minggu lalu dengan kontrak dua tahun dan berita itu disambut meriah oleh penyokong United di seluruh dunia.
Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or tersebut meninggalkan United pada 2009 untuk menyertai Real Madrid dan memenangi pelbagai kejuaraan dan termasuk pencapaian peribadi.
Walaupun Wenger percaya kepulangan Ronaldo itu akan memberi impak yang baik kepada Liga Perdana Inggeris (EPL), namun beliau melihat langkah itu hanyalah berlandaskan sentimen emosional semata-mata disebabkan hubungan pemain tersebut dengan kelab Manchester itu.
“Ini adalah kisah cinta yang semua orang mahu saksikan, Dia dibeli lebih dari asbab kesukanan, ia juga melibatkan emosional. Saya rasa keputusan itu tidak 100 peratus rasional.” ujarnya.
“Mencari keseimbangan dalam pasukan merupakan satu cabaran besar, tetapi pemain seperti Ronaldo dengan pengalaman yang luas masih boleh menjaringkan banyak gol.”
Wenger turut berkongsi satu pendedahan bagaimana beliau begitu hampir untuk menandatangani Ronaldo semasa muda ketika masih beraksi untuk Sporting Lisbon.
Namun disebabkan pengaruh Sir Alex Ferguson dan polisi Arsenal yang berjimat cermat serta enggan mengeluarkan belanja yang tinggi untuk pemain muda, pemain itu terlepas ke Old Trafford.
“Dia sudah pun berada di padang latihan kami dan menyarung jersi Arsenal, tetapi pengurusan Arsenal ketika itu hanya mahu membayarnya dengan €4 juta. Tapi Sir Alex ‘merampas’ dia dari saya dengan harga €12 juta!”