Kuala Lumpur City menjadikan Kedah sebagai mangsa terbaharu mereka selepas mencatat kemenangan 2-1, sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di halaman sendiri dalam aksi terakhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Rekod cemerlang itu terhasil dari dua gol pada babak pertama perlawanan menerusi Romel Morales dan Safee Sali, sekaligus memberikan tiga mata penuh buat skuad kendalian Bojan Hodak tersebut.
Kedua-dua pasukan tidak dapat menurunkan penjaring terbanyak mereka, KL City tanpa Paulo Josue dan Kedah pula ketiadaan Kpah Sherman.
Seawal minit kelima, KL City sudah pun membuka jaringan menerusi sepakan penalti Romel Morales selepas pengadil mendakwa percubaan Kamal Azizi dari luar kotak penalti terkena tangan pemain pertahanan Kedah, Loqman Hakim.
Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali membuktikan ketajamannya di hadapan gol masih belum hilang dengan menggandakan kedudukan buat pasukan tuan rumah pada minit ke-25.
Hasil dari gerakan dari sebelah kiri, kapten KL City itu berjaya membuat larian ke depan gol dan menyudahkan hantaran lintang J. Parthiban dengan tampanan mudah menewaskan Shahril Shaari.
Ketinggalan dua gol, Kedah kembali memperkemaskan permainan dan berhasil merapatkan kedudukan 10 minit sebelum masa rehat hasil lambungan Kipre Tcetche yang menyambutan hantaran dari sepakan penjuru melemaskan Kevin Ray Mendoza.
Bagi memburu jaringan, Aidil Sharin membuat pertukaran pada awal babak kedua dengan memasukkan Fayadh Zulkifli dan ternyata ia memberi impak yang positif kepada barisan serangan Kedah yang semakin rancak mengatur serangan.
Namun beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan tidak berjaya diterjemahkan kepada jaringan sehinggalah pengadil meniupkan wisel penamat dan perlawanan berkesudahan 2-1 memihak kepada KL City, sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di halaman sendiri pada musim ini.