Walaupun sedikit longlai, Kedah Darul Aman FC berjaya menewaskan Perak FC dengan keputusan 1-0 hasil gol tunggal Kpah Shermandalam aksi Liga Super, sebentar tadi.
Kedah menampilkan penguasaan di awal babak pertama dengan Perak masih bergelut mempamerkan prestasi yang lebih baik walaupun dilihat membuat perubahan dalam kesebelasan utama mereka di Stadium Darul Aman pada aksi malam ini turun.
Masalah Perak adalah mereka gagal memecah blok pertahanan Kedah walaupun cuba mengatur beberapa asakan sebelum Kedah dilihat lebih mengancam kubu pelawat.
Minit ke-19, selepas beberapa kali mencatur asakan ke kubu pelawat, Kedah akhirnya berjaya memperolehi jaringan pembukaan menerusi penyerang sensasi mereka, Kpah Sherman selepas menanduk masuk hantaran lambung oleh Kipre Tchetche.
Selepas setengah jam aksi barulah Perak dilihat tampil lebih agresif dan berjaya mencipta percubaan pertama menerusi Syahir Bashah di minit ke-33 dengan percubaan jauh yang diselamatkan oleh penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal.
Perak mencipta beberapa peluang selepas itu antaranya menerusi penyerang, Nana Poku dan juga percubaan jauh yang tersasar menerusi Izzuddin Roslan.
Kesukaran untuk memecah blok pertahanan Kedah yang diketuai Renan Alves dan Loqman Hakim telah memaksa Perak lebih gemar membuat percubaan jarak jauh.
19' Gol | Gol pembukaan di Stadium Darul Aman dijaringkan oleh Kpah Sherman!@kda_fc 1-0 @peraktbgmy #LigaSuper2021 pic.twitter.com/FxVhUl4aUf
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 28, 2021
Skuad Hijau Kuning tampak mula kurang berkesan dalam melakukan asakan dan tenggelam sehingga berakhir babak pertama. Jad Noureddine dan Idris Ahmad berjaya memperbaiki prestasi mereka yang goyah sebelum dibolosi oleh Kpah Sherman.
Rentak itu diteruskan di awal babak kedua dengan Perak berjaya mengimbangkan perlawanan pada malam ini dengan tenang menyerap setiap asakan lawan.
Kedah yang lebih banyak cuba mula mengasak di sebelah sayap kanan menerusi Rabih Ataya sudah kerap kali digagalkan oleh bek kiri pelawat, Rafiuddin Roddin.
Sejam aksi berlangsung dan dihampakan kegagalan jentera serangan mengukuhkan kedudukan, Aidil Sharin membuat dua pertukaran dalam usaha untuk mengubah rentak serangan mereka dengan kemasukkan Fayyadh Zulkifli dan Faizat Ghazli.
Tidak pasti sama ada ia kesan jadual yang padat, Kedah mula hilang agresif dan Perak pula dilihat bermain lebih baik walaupun terus gagal menyudahkan asakan mereka.
Minit ke-74, pelawat hampir meledak gol penyamaan, namun tandukkan Nana Poku hasil hantaran lintang Sergio Aguero gagal menggegar gawang. 10 minit kemudian, Nana Poku sekali lagi gagal membuat tandukan kemas untuk gol penyamaan.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS20#LigaSuper2021 pic.twitter.com/hIeDJdniT2
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 28, 2021
Kedah berjaya untuk tidak dibolosi sehingga ke hujung perlawanan dan ini merupakan kali pertama mereka tidak dibolosi selepas empat perlawanan. Kali terakhir mereka menang tanpa bolos adalah ketika menundukkan Sabah FC 1-0 pada awal Mei lalu.
Selepas 18 perlawanan, Kedah akhirnya memintas Terengganu FC di tangga kedua. Terengganu akan turun menentang KL City FC pada esok malam dan berpotensi untuk memintas semula kedudukan Kedah jika berhasil mencatatkan keputusan seri.
Untuk Perak, mereka kekal di zon penyingkiran dan gagal untuk merapatkan jurang mata dengan Sri Pahang yang ditewaskan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).