Permulaan buruk Arsenal nampaknya masih belum berpenghujung selepas tewas 5-0 kepada Manchester City yang merupakan kekalahan ketiga berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Aksi yang berlangsung di Stadium Etihad itu turut menyaksikan skuad kendalian Mikel Arteta terpaksa beraksi dengan hanya 10 orang pemain untuk sebahagian besar perlawanan selepas Granit Xhaka dibuang pada pada separuh masa pertama.
City hanya perlukan tujuh minit untuk membolosi gawang Arsenal apabila Ilkay Gundogan menanduk masuk hantaran lintang Gabrierl Jesus dari sebelah kanan.
Hanya berselang lima minit, Arsenal sudah ketinggalan dua gol selepas Ferran Torres mudah menolak masuk hantaran Bernardo Silva yang bermula dari sepakan percuma. Sekalipun Arsenal cuba membantah dengan mangatakan Calum Chambers dikasari, namun semakan VAR membenarkan jaringan tersebut.
Arsenal mendapat peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan selepas kegagalan penjaga gol City, Ederson Moraes mengeluarkan bola dan nyaris dimanfaatkan Emile Smith Rowe yang sempat memintas, tetapi lantunan bola hanya tersasar sedikit sahaja dari masuk ke gawang gol.
Nasib Arsenal bertambah malang apabila terpaksa bermain dengan 10 orang bermula minit ke-35 angkara tindakan Granit Xhaka yang membuat terjahan keras menggunakan kedua-dua kaki ke atas Joao Cancelo.
Menyusahkan pasukan gini.#GranitXhaka#Arsenal#PremierLeague pic.twitter.com/mbm57shqSP
— KOPPA (@koppatv) August 28, 2021
City tidak perlu menunggu lama untuk memanfaatkan kelebihan itu dengan meledak gol ketiga pada minit ke-42 hasil dari serangan pantas yang disempurnakan oleh Gabriel Jesus selepas mendapat hantaran Jack Grealish dari sebelah kiri.
Pada minit ke-53, skuad kendalian Pep Guardiola itu terus bernafsu melebarkan kelebihan dengan Rodri pula mengambil giliran untuk menyumbat gol keempat pasukannya menerusi rembatan dari luar kotak penalti.
Enam minit sebelum tamat perlawanan Ferran Torres menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan ini dengan menanduk hantaran lintang Jack Grealish untuk menjadikan kedudukan 5-0.
Jika tidak kerana kecekapan Bernd Leno menyelamatkan deretan percubaan pasukan tuan rumah, Arsenal pastinya bolos lebih banyak dalam perlawanan ini.
Dengan kemenangan ini, City kini memimpin carta liga buat sementara waktu dengan mengumpul enam mata selepas tiga perlawanan.
Arsenal pula mencatat rekod permulaan terburuk dalam sejarah kelab dengan mengumpul tiga kekalahan berturut-turut tanpa menjaringkan sebarang gol dan kini terperosok di dasar liga.