Berdepan Sabah FC pada malam ini, Penang FC mungkin akan kembali diperkasakan dengan ‘The Brazilian Trio’ – Endrick dos Santos, Rafael Vitor dan Casagrande.
Minggu lalu mungkin antara aksi terburuk Penang FC dalam kancah Liga Super musim ini apabila tunduk 1-4 kepada musuh ketat mereka, Kedah Darul Aman FC.
Ia merupakan antara empat kekalahan besar mereka musim ini selepas tunduk 1-3 kepada KL City FC, 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan 1-4 kepada Selangor FC. Semuanya berlaku di pusingan kedua liga selepas cemerlang di pusingan pertama.
📹 HIGHLIGHTS: @kda_fc 4-1 @fa_penang
Kedah Darul Aman FC raih kemenangan dalam "Derby" Utara hasil jaringan Tchetche Kipre (2), Baddrol Bakhtiar dan Kpah Sherman. Gol saguhati Penang dijaringkan oleh David Rowley.#LigaSuper2021 pic.twitter.com/NxIlxXgJs9
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 17, 2021
Ini menyaksikan mereka gagal mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga dengan Kedah dan Selangor FC kini saling memintas untuk berebutkan posisi tersebut.
Begitupun, Kedah lebih berpotensi besar untuk berada di ‘top 3’ liga bersama JDT dan Terengganu FC berbanding skuad Harimau Kumbang tetapi selagi liga belum berakhir persaingan di antara beberapa pasukan untuk posisi tersebut sangat menarik.
Untuk kejuaraan liga, sebagaimana yang kita dapat lihat, JDT sudah jauh meninggalkan pencabar terdekat dengan hanya Kedah berpotensi untuk mencabar. Jika JDT menang dalam aksi selepas ini, segalanya akan berakhir untuk perebutan kejuaraan liga.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS19#LigaSuper2021 pic.twitter.com/266VhPxXV7
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 21, 2021
Berbaki empat aksi, Penang FC wajib memanfaatkannya untuk menamatkan musim di kedudukan terbaik dalam musim pertama mereka kembali ke saingan Liga Super.
Sebagaimana kata pengendali, Tomas Trucha ketika tewas minggu lalu, beliau mahu segera lupakan kekalahan kepada Kedah dan mahu fokus untuk aksi seterusnya.
Dalam perkongsian di laman sosial Penang FC, kelihatan kelibat ‘The Brazlian Trio’ di Kota Kinabalu menandakan mereka bakal kembali selepas pasukan kehilangan mereka dalam aksi berdepan Kedah menimbulkan persoalan di kalangan penyokong.
Maka terjawablah yang dakwaan mereka dijangkiti COVID-19 adalah tidak benar kerana jika ia benar, sudah tentu Penang FC akan kehilangan mereka lebih lama.
Menurut perkongsian sebelum aksi bertemu Kedah, ketiga-tiga pemain ini adalah nadi utama pasukan sejak tiga musim kebelakangan ini, bermula dengan kejayaan mereka merangkul kejuaraan Liga Premier dan meraih tiket kembali ke saingan Liga Super.
Untuk rekod mereka telah menyumbang 16 gol musim ini – lebih separuh daripada keseluruhan gol iaitu 28 gol. Penyerang Casagrande telah menyumbat lapan gol dan dua assist, Endrick (tiga gol, enam assist) serta Rafael Vitor (lima gol, satu assist).
Dengan kembalinya ketiga-tiga pemain ini, Penang FC boleh kembali ke landasan sebenar dan fokus dalam perebutan kedudukan ketiga liga. Ketiadaan mereka dan tonggak lain seperti Ryuji Utomo dan Khairu Azrin juga mengganggu rentak pasukan.
Nampaknya, Sabah perlu berhati-hati dengan Penang FC yang mungkin akan kembali diperkuatkan dengan kembalinya beberapa pemain termasuk ‘The Brazilian Trio’.