‘Derbi Utara’ antara Kedah Darul Aman FC dan Penang FC akan berlangsung pada Selasa depan dan kedua-dua pasukan akan kehilangan teraju utama di benteng.
Kedah bakal turun tanpa bek tengah, Renan Alves yang dilayangkan kad merah ketika mereka tewas 2-4 kepada Selangor FC pada Jumaat. Sementara Penang FC pula tanpa kudrat bek tengah, Ryuji Utomo yang menjalani penggantungan perlawanan.
Ryuji Utomo tidak dapat diturunkan berdepan seteru utama mereka disebabkan telah mengumpul tiga kad kuning iaitu dalam aksi pusingan pertama berdepan Kedah pada 12 Mac yang lalu serta Melaka United pada 6 April dan 7 Ogos, baru-baru ini.
Ini bakal menyaksikan kedua-dua pasukan tidak dapat menyenaraikan tonggak utama di benteng dalam aksi penting kedua-dua pasukan untuk aksi tertangguh itu.
Kedah dan Penang FC sebelum ini dijadualkan bertemu pada 24 Julai lalu selepas saingan Liga Super kembali dibuka tirainya, namun disebabkan terdapat kes positif COVID-19 dalam kem Kedah, perlawanan tersebut dinasihatkan untuk ditunda.
Kedah turut melalui penundaan untuk empat aksi selepas itu berdepan PJ City FC, UiTM FC, Sri Pahang dan Selangor FC. Mereka kembali beraksi pada Jumaat lalu.
MFL: Pinda Lagi Untuk ‘Elak Situasi Tak Baik’ Lepas Tunda 5 Aksi Kedah
Pertembungan dua seteru ini dijangka sengit atas beberapa sebab selain diketahui sejak sekian lama, kedua-dua pasukan ini merupakan seteru di zon utara tanah air.
Kedua-duanya dalam persaingan posisi kedua Liga Super bersama Terengganu FC dan untuk ketika ini, disebabkan skuad Hijau Kuning kekurangan empat perlawanan, persaingan mereka lebih terarah kepada kedudukan di tangga ke-3 Liga Super.
Penyokong pula tentunya idamkan hak ‘bercakap besar’ siapa jagoan di utara tanah air, menyaksikan aksi ini bukan sahaja akan panas di dalam padang, malah di luar padang.
Untuk rekod dalam lima aksi antara kedua-dua pasukan, Kedah unggul dengan tiga kemenangan, sementara Penang FC menang sekali dan satu keputusan seri dicatatkan – dalam pertembungan kedua-dua pasukan di pusingan pertama, pada Mac lalu.
Bagaimana Kedah tanpa Renan Alves? Pastinya tiada masalah kerana mereka sudah terbiasa beraksi tanpanya setiap kali beliau menerima kad merah. Mujur buat skuad Hijau Kuning, Rodney Calvin juga sudah boleh dianggap sebagai watak penting.
Kemungkinan besar pengendali, Aidil Sharin Sahak seperti biasa akan meletakkan gandingan Rodney Calvin dan Amirul Hisyam di posisi bek tengah. Sudah diketahui, Amirul Hisyam sentiasa menjadi taruhannya jika berlaku masalah di benteng.
Ketika kehilangan Renan Alves menentang Selangor, Amirul Hisyam yang bermain di posisi tengah bertahan serta merta turun menggantikan posisi Renan Alves tanpa penggantian pemain perlu dibuat oleh Aidil Sharin sehingga babak pertama tamat.
Untuk Penang FC pula, ketiadaan Ryuji Utomo juga bukan masalah besar buat mereka walaupun beliau sentiasa mempamerkan pembacaan permainan yang baik. Ini kerana, skuad Harimau Kumbang masih memiliki pilihan lain untuk posisi tersebut.
Pemain seperi Latiff Suhaimi acapkali menjadi penggantinya terutama ketika beliau mengalami kecederaan hamstring pada awal musim yang lalu. Pengendali, Tomas Trucha tentunya tidak terlalu risau kerana mereka masih memiliki Rafael Vitor.
‘Squad depth’ Penang FC juga tampak baik kerana mereka juga memiliki pemain seperti Khairul Akmal Rokisham dan Khairul Asyraf yang kompeten untuk posisi itu.
Selepas 17 perlawanan, Penang FC berada di kedudukan ke-3 dengan 31 mata, lima mata di depan Kedah yang berada di kedudukan kelima. Mereka juga kekurangan tiga aksi berbanding Penang FC dan mampu memintas kedudukan itu jika konsisten.