Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva kini telah memintas rekod penjaring terbanyak kelabnya dalam saingan Liga Super apabila meledak dua gol semalam.
JDT menang 2-0 ke atas Sabah FC dengan Bergson kini telah meledak 19 gol untuk memintas rekod yang dipegang Jorge Pareyra Diaz dengan 18 gol pada musim 2016.
Seorang lagi pemain JDT, Mohammed Ghaddar yang memenangi Kasut Emas pada musim 2017 dengan 23 gol hanya meledak lima gol bersama JDT ketika itu. Baki 18 jaringannya adalah ketika beliau menyarung jersi Kelantan sehingga Mei 2017.
Pada musim lalu Ghaddar muncul selaku penjaring terbanyak saingan Liga Super 2017 dengan menjaringkan 23 gol ketika beraksi dengan Kelantan (18 gol) dan Johor Darul Ta’zim (5 gol).https://t.co/IgeDA1E4Ch
— Empayar Bola (@empayarbola) February 24, 2018
Adakah Ghaddar Akan Menempa Sejarah Baharu Penjaring Terbanyak Liga Super?
Oleh itu, majoriti golnya adalah ketika bersama The Red Warrior dan bukanlah ketika menyarung jersi JDT sepenuhnya – hanya lima gol. Untuk musim tersebut, Gonzalo Cabrera merupakan peledak jaringan terbanyak buat JDT dengan 11 gol peribadinya.
Ketika Jorge Pareyra Diaz melakar 18 jaringan pada musim 2016, JDT menjuarai saingan liga dengan rekod jaringan tertinggi mereka sehingga kini iaitu 56 gol.
Berikut adalah senarai penjaring terbanyak JDT dalam saingan Liga Super sejak 2013:
2020: Safawi Rasid (7)
2019: Diogo Luis (12)
2018: Gonzalo Cabrera (9)
2017: Mohammed Ghaddar (23) – JDT (5), Kelantan (18), Gonzalo Cabrera (11)
2016: Jorge Pareyra Diaz (18)
2015: Luciano Figueroa (12)
2014: Luciano Figueroa (11)
2013: Norshahrul Idlan Talaha (7)
PEMENANG 🏆 ANUGERAH BOLASEPAK KEBANGSAAN 2020 VIRTUAL
PENJARING TERBANYAK CIMB LIGA SUPER 2020
IFEDAYO OMOSUYI (SELANGOR)#ABK20 pic.twitter.com/xKVdwzrjLg
— Malaysian Football League (@MFL_MY) December 30, 2020
Selain itu, Bergson kini merupakan pendahulu carta penjaring terbanyak musim ini, dua gol di depan penjaring terbanyak musim 2020, Ifedayo Olusegun yang meledak 17 gol setakat ini. Kedua-duanya masih bersaing untuk muncul sebagai pemenang.
Penyerang berusia 30 tahun itu turut memintas beberapa penjaring terbanyak Liga Super dengan 19 golnya itu. Kali terakhir rekod 19 jaringan terhasil adalah pada musim 2018 menerusi Rufino Segovia yang meledak 54 peratus jaringan Selangor musim itu.
Beliau berada di tangga ke-4 penjaring terbanyak Liga Super sejak mula diperkenalkan pada 2004 di belakang Marlon Alex James, Ghaddar (23 gol), Keita Mandjou, Mohd Shahrazen Said (21 gol), Abdul Hadi Yahya dan Dramane Traore (20 gol).
Sebelum ini pengendali pasukan, Benjamin Mora ada menyatakan dalam sidang media ketika Bergson meledak hatrik berdepan Perak FC, beliau gembira jika Bergson meraih gelaran tersebut, namun menegaskan tiada superstar dalam pasukannya.
Bercakap mengenai cabaran Bergson untuk muncul sebagai pemenang Kasut Emas musim ini, Benjamin Mora berkata, “Bukan saya yang menentukan kehendak pemain. Kami bermain secara berpasukan. Kami tiada superstars dalam pasukan.”
“Begitupun, saya gembira jika Bergson meraih penjaring terbanyak musim ini. Diogo pun tak pernah memenanginya ketika dia di sini,” tambahnya lagi tentangnya.
JDT masih berbaki empat perlawanan dan jika Bergson kekal konsisten meledak gol – setakat ini tujuh perlawanan berturut-turut, tidak mustahil rekod 23 gol milik Ghaddar dan Marlon Alex James bakal dipintasnya pada penghujung musim.
Dan adakah penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun akan berjaya mencabarnya? Beliau ketinggalan dua gol dengan Selangor ketika ini berbaki lima aksi di tangan.