Bek tengah Penang FC, Rafael Vitor menempatkan dirinya di kalangan penjaring gol terpantas dalam saingan Liga Malaysia, khasnya Liga Super dalam aksi malam tadi.
Hanya 9 saat diperlukannya dan Penang FC untuk membuka tirai jaringan ke atas Perak FC dalam aksi minggu ke-17 Liga Super 2021. Harimau Kumbang meraih tiga mata selepas menundukkan lawan dengan keputusan 5-3 di Stadium Perak.
Seminggu yang lalu, pemain import Sri Pahang, Manuel Hidalgo mencetak gol selepas 40 saat pengadil meniup wisel permulaan, namun ia tidak cukup untuk membantu mereka meraih tiga mata apabila hanya terikat 1-1 menentang Melaka United.
Manuel Hidalgo Jadi Antara Penjaring Terpantas Liga Malaysia Sepanjang Zaman
Begitupun, ia sudah cukup untuk mencetak namanya selaku antara penjaring terpantas saingan Liga Super dan Liga Malaysia, amnya. Namanya akan sentiasa diingati para penyokong walaupun nanti beliau mungkin sudah tidak lagi bersama pasukan.
Rafael Vitor bukanlah seorang penyerang ataupun pemain tengah, namun sebagai bek tengah, jaringan terpantas ini juga bakal dikenang oleh penyokong Penang FC. Ia tercipta berdepan musuh setempat dan beliau juga berjaya mencipta hatrik!
Ia malam yang indah buat dirinya yang jarang sekali mencipta jaringan. Sejak bersama Penang FC pada saingan Liga Premier 2020, beliau telah mencipta satu jaringan ketika membantu mereka menjuarai Liga Premier dan meraih tiket ke saingan Liga Super.
1' Gol | Hanya 9 saat diperlukan oleh Rafael Vitor untuk menjaringkan gol pembukaan di Ipoh! @peraktbgmy 0-1 @fa_penang #LigaSuper2021 pic.twitter.com/mMJO6vUnXH
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 3, 2021
Dan dengan hatriknya malam tadi, musim ini beliau telah mencipta empat gol untuk berada di kedudukan kedua carta penjaring terbanyak Harimau Kumbang.
Dan untuk rekod jua, jaringan pertamanya musim ini sebelum ini adalah pada April lalu iaitu ketika menumbangkan pasukan yang sama, Perak dengan keputusan 2-1 di Stadium Bandaraya. Jelas, beliau sudah tahu di mana lubuknya ketika bertemu Perak!
Berikut adalah senarai penjaring terpantas dalam saingan Liga Super – berdasarkan rekod yang dimiliki Semuanya BOLA. Dan jika melihatkan rekod tersebut, seperti Rafael Vitor merupakan penjaring terpantas sepanjang 18 edisi Liga Super berlangsung.
Namun, rekod jaringan terpantas dalam saingan Liga Malaysia masih dimiliki pemain Sarawak era lewat 80-an, Pengiran Bala yang melakukannya dalam hanya 8 saat dalam aksi Piala Malaysia 1989, pertembungan di antara Sarawak menentang Pahang.
Syahmi Safari (40 saat)
Berkongsi kedudukan dengan Manuel Hidalgo adalah Syahmi Safari yang turut pernah menghasilkan gol sepantas 40 saat. Bek kanan pasukan Selangor itu hanya berusia 19 tahun ketika menghasilkan jaringan tersebut dalam perlawanan menentang PKNS FC.
Menjadikan ianya lebih menarik, ia adalah jaringan pertama Syahmi untuk skuad senior Selangor pada musim 2017 itu. Bagaimanapun Selangor tewas 3-5 kepada PKNS FC dalam perlawanan tersebut, walaupun mendahului pada awal perlawanan.
Gonzalo Cabrera (39 saat)
Pemain sayap menyerang JDT, Gonzalo Cabrera juga berjaya merekodkan jaringan terpantas dalam aksi kelapan Liga Super 2021 ketika menang 3-0 ke atas PJ City.
Tidak sampai seminit perlawanan berlangsung, JDT terus membuka akaun jaringan menerusi tandukkan Gonzalo Cabrera yang hanya mampu dilihat oleh penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz. Ia bermula dengan hantaran lintang oleh S. Kunanlan.
Andik Vermansyah (33 saat)
Andik Vermansyah menceriakan penyokong Selangor apabila berjaya menjaringkan gol seawal 33 saat ketika Selangor menentang JDT dalam aksi Liga Super 2015.
Berpunca daripada sepakan percuma Azmi Muslim yang gagal dikeluarkan dengan baik oleh pertahanan JDT, Andik telah memanfaatkan situasi kelam-kabut itu untuk melepaskan rembatan ke arah bucu bawah sebelah kanan gol Farizal Marlias.
Kipre Tchetche (31 saat)
Penyerang sensasi Kedah Darul Aman FC, Kipre Tchetche pernah mencetak jaringan terpantas Liga Super musim 2018, ketika menyarung jersi Terengganu FC.
Ia diciptanya ketika mereka terikat 1-1 menentang Kelantan FC dalam aksi minggu kedua. Musim itu juga beliau berada di kedudukan kedua carta penjaring gol terbanyak dengan 14 gol, lima gol di belakang penyerang Selangor, Rufino Segovia.
Ahmad Fakri Saarani (12 saat)
Ahmad Fakri Saarani mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila menjaringkan gol seawal 12 saat, ketika saingan Liga Super 2015 di antara Kelantan menentang Terengganu. Ia adalah rekod gol terpantas pernah dijaringkan dalam rekod Liga Super.
Kini, rekod pemilik ungkapan, “Bola kalau tak nak masuk, tak masuk juga. Kita buatlah macam mana pun” itu telah berjaya dipintas oleh Rafael Vitor untuk menjadi penjaring gol terpantas dalam saingan Liga Super sejak ia mula diperkenalkan musim 2004.