Penang Dah ‘Gatal Kaki’ Nak Turun Beraksi

Trucha Penang FC Liga Malaysia

Ketua jurulatih Penang FC, Thomas Trucha mahu pemain tetap fokus untuk berdepan UiTM FC meskipun moral sedikit terjejas apabila perlawanan berdepan Kedah Darul Aman FC, Sabtu lalu terpaksa ditangguhkan.

Beliau tidak menafikan mental pemain sedikit terganggu apabila mereka tidak dapat beraksi ekoran ada pemain Kedah yang disahkan positif COVID-19 tatkala segala persiapan telah pun dibuat untuk beraksi.

Namun, Trucha mahu barisan pemain terus bersemangat untuk memberi fokus kepada perlawanan menentang UiTM FC pada malam esok sambil menyifatkan lawan mereka itu kini hadir dengan beberapa muka baharu yang pastinya akan memberi tentangan hebat.

Walaupun UiTM FC kini di tangga tercorot Liga Super, beliau menganggap berdepan dengan lawan yang bekerja keras untuk terus kekal di saingan liga lebih berbeza dan apa sahaja boleh berlaku.

“Sewaktu aksi berdepan Kedah terpaksa ditangguhkan, ia sememangnya di luar kawalan kita semua, jadi penting untuk saya pastikan pemain kekal fokus dan terima dengan perubahan pelan untuk aksi malam esok.

“Berdepan UiTM, saya dapat rasa akan sengit kerana kita tahu bagaimana semangat juang mereka untuk terus kekal di Liga Super dan jurulatih mereka juga bekerja keras mempersiapkan pasukan dalam tempoh berehat tempoh hari.

“Jadi, saya tekankan kepada pemain saya agar jangan sesekali ambil mudah, dan tiada satu pun perlawanan yang senang untuk kita kerana semua pasukan bekerja keras sebelum ini untuk kembali beraksi,” jelasnya.

Dalam satu lagi perlawanan yang akan berlangsung iaitu Sabah FC menentang Sri Pahang FC, pengendali tuan rumah, Kurniawan Dwi Yulianto mahu anak buah tidak lagi melakukan kesilapan mudah terutamanya pada minit-minit akhir sepertimana yang dilakukan ketika tewas kepada PJ City tempoh hari.

Jelasnya, kekalahan tersebut telah meletakkan mereka di tangga kelapan liga dan untuk itu, pasukan tidak boleh lagi tewas agar dapat meletakkan jurang yang lebih besar dengan lawan lain di kelompok bawah liga.

“Yang pasti adalah fokus untuk 90 minit kerana saya selalu ingatkan bahawa baik 15 minit awal dan 15 terakhir adalah cukup penting untuk pemain.

“Ia terbukti apabila kita tewas dengan gol mudah pada minit terakhir dan saya mahu selepas ini, pemain sentiasa menganggap setiap perlawanan itu adalah aksi final.

“Sekarang kedudukan semakin merbahaya, jurang mata juga tidak jauh, jadi kita tidak boleh biarkan kesilapan muda memberi kesan negatif kepada pasukan”, katanya.

Dua lagi perlawanan turut berlangsung pada malam esok menyaksikan Selangor FC akan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Melaka United FC akan menerima kunjungan Terengganu FC.

Satu perlawanan sahaja akan berlangsung pada malam ini iaitu antara Perak FC dan Kuala Lumpur City FC.

Aksi antara PJ City FC dan Kedah Darul Aman FC pula ditangguhkan susulan pasukan Kedah yang masih lagi dalam tempoh kuarantin ekoran dua pemainnya positif COVID-19. – MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN