Ketika beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) bergelut dengan masalah kewangan, PDRM FC pula membuktikan mereka benar-benar serius dalam memenuhi kehendak profesional melalui penswastaan pasukan yang diperkenalkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Hasil dari pengurusan yang mantap, musim ini tidak timbul isu mengenai tunggakan gaji pemain, malah skuad Sang Saka Biru itu telah menaik taraf fasiliti mereka di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur.
Antara fasiliti yang telah dinaik taraf adalah satu blok bangunan yang merangkumi ruang pejabat, bilik jurulatih dan ruang mesyuarat, kedai cenderamata, bilik persalinan dan tandas pemain serta bilik lounge.
Selain itu, PDRM juga kini mempunyai dua padang latihan dan akan dinaiktaraf dari semasa ke semasa.
Usaha menaiktaraf ini merupakan salah satu misi dan visi yang jelas oleh pemilik dan disokong oleh pengurusan yang profesional.
Perkembangan positif tersebut tentunya didorong oleh suntikan dana daripada beberapa syarikat tempatan seperti Top Glove Corporation Bhd, Blackbixon, redONE, Oren Sport, Cisco Security, Biolux serta HertzMy.
Sebelum ini, walaupun beraksi di peringkat tertinggi termasuk saingan Liga Super, fasiliti latihan mereka amat menyedihkan degan hanya menggunakan kabin mudah alih yang ditempatkan di tepi padang.
Oleh itu, usaha menaik taraf tersebut seharusnya diberi pujian kerana ianya pasti akan meningkatkan moral dan motivasi pemain serta pegawai pasukan PDRM pada masa akan datang.
Langkah ini juga membuktikan pihak pengurusan pasukan tahu ke mana seharusnya wang tajaan dibelanjakan untuk kelangsungan jangka masa panjang.
Pasukan tersebut yang kini dibimbing oleh jurulatih muda Wan Rohaimi Wan Ismail berjaya keluar dari prestasi hambar mereka pada awal musim dan kini menduduki tangga kelapan Liga Premier selepas mengharungi 11 perlawanan.
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Pemilihan ‘Molten’ Jadi Punca Prestasi Kurang Menjadi Malaysia?
https://semuanyabola.com/5-sebab-harimau-malaya-harus-optimis-mampu-raih-keputusan-positif/