Kedah Darul Aman FC membuat keputusan melepaskan bek tengah, Zulkhairi Zulkeply seterusnya mendaftar masuk bekas kapten dan playmaker UKM FC, Asnan Ahmad.
Asnan Ahmad baru sahaja menyertai Terengganu FC untuk saingan musim ini, namun anak kelahiran Kedah ini nampaknya mungkin tidak memenuhi kriteria ditetapkan pengendali, Nafuzi Zain. Beliau hanya bermain 11 minit untuk satu penampilannya.
Agak ganjil Kedah melepaskan seorang pemain yang serba boleh seperti Zulkhairi Zulkeply pada awalnya. Ini kerana, Kedah memang menghadapi masalah di benteng terutamanya di posisi bek tengah yang sedikit bergelut sepanjang 13 perlawanan.
Kedah pada awalnya kehilangan khidmat bek import, Renan Alves yang mengalami kecederaan yang memaksanya berehat untuk sembilan perlawanan sebelum tampil dalam empat aksi terkini. Kedah juga bergelut dengan penggantungan Rodney Calvin.
Tanpa Renan Alves & Syazwan Tajudin, Kedah Buat Rombakan Di Benteng Lagi https://t.co/f6vB926kmS
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 9, 2021
Dalam kesusahan itu, pengendali, Aidil Sharin langsung tidak menggunakan khidmat Zulkhairi Zulkeply, malah menurunkan bek kurang berpengalaman yang merupakan produk daripada skuad Piala Presiden mereka sebelum ini iaitu Loqman Hakim.
Selain itu, kekurangan pemain di bek tengah juga dilihat sentiasa akan ditampung oleh pemain tengah bertahan yang ditukar posisinya, Amirul Hisyam Awang Kechik.
Dengan bakal melangkah ke saingan Piala AFC pada penghujung Jun depan, secara tiba-tiba pihak kejurulatihan telah melepaskan Zulkhairi Zulkeply yang mungkin boleh dimanfaatkan dalam saingan tersebut. Satu keputusan besar terpaksa dibuat.
Untuk musim ini, pemain itu hanya meraih satu penampilan bersama Kedah, itupun hanya untuk dua minit iaitu ketika menewaskan Pahang 3-1 pada April lalu. Musim lalu, beliau telah merekodkan 53 minit permainan dalam dua penampilannya.
Mengapa Kedah mengeluarkan Zulkhairi Zulkeply dan membawa masuk pemain yang pernah menyarung jersi skuad Piala Presiden mereka pada musim 2013 itu?
Asnan Ahmad adalah seorang pemain tengah dan bukannya pemain pertahanan, iaitu posisi paling kritikal buat Aidil Sharin saat ini. Dijangkakan dengan kemasukkan pemain yang melalui lapan tahun kariernya di UKM FC, akan berlaku satu perubahan besar.
Kemungkinan besar Kedah bakal menggunakan khidmatnya sebagai pemain tengah bertahan dan pemain import kelahiran Singapura, Anumanthan Mohan dilihat calon untuk mengisi posisi bek tengah untuk baki saingan Liga Super dan Piala AFC.
Beliau adalah Pemain Muda Terbaik S.League 2016 dan boleh beraksi di empat posisi iaitu posisi pertahanan (posisi nombor 4 dan 5) dan juga tengah (posisi nombor 6 dan 8). Ini menepati ‘selera’ Aidil Sharin untuk digunakannya merubah taktikal pasukan.
Untuk melalui saingan Piala AFC yang dijangka mencabar buat Kedah, siapa tahu, mungkin Aidil Sharin bakal menggunakan gandingan Renan Alves dan Anumanthan Mohan di posisi bek tengah bagi mengukuhkan lagi benteng mereka nanti.
Apa sahaja boleh berlaku dengan peraturan di Piala AFC yang hanya empat pemain import dibenar untuk didaftarkan. Adakah Asnan Ahmad adalah taruhan kekosongan seorang pemain import yang perlu diketepikan untuk saingan Piala AFC?
Baca lagi artikel lain mengenai Asnan Ahmad dan Kedah:
Asnan Ahmad Tak Lupa Jasa UKM FC, Tekad Bantu TFC Raih Kejayaan
Hariss Harun Tinggalkan JDT, Hijrah Ke Lawan Kedah Di Piala AFC 2021