Selepas menampilkan aksi cemerlang dalam aksi pertama bersama Sri Pahang tempoh hari, nama Manuel Hidalgo secara tiba-tiba menjadi sebutan peminat bola sepak tempatan dan menimbulkan beberapa persoalan mengenai latar belakangnya.
Ketua Jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh turut memuji pemain import baharu dari Argentina itu selepas berjaya menghasilkan gol pembukaan dan membantu jaringan Abdul Malik Mat Arif penyamaan pada masa kecederaan ketika menentang Selangor tempoh hari.
Lalu timbul dakwaan yang mengatakan bekas pemain Pahang, Kiko Insa yang turut berperanan sebagai Penolong Pencari Bakat & Pembangunan Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT)merupakan ejen kepada pemain tersebut.
Hidalgo atau nama panggilannya Manu mempunyai pengalaman beraksi bersama pasukan ternama Portugal iaitu Benfica ketika remaja sebelum menyertai kelab Itali Triestina Calcio yang beraksi di Serie C.
Pada musim panas 2020, beliau ditandatangani oleh kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Sheffield Wednesday, namun telah menamatkan kontraknya atas persetujuan dua pihak hanya enam bulan selepas itu.
Beberapa media antarabangsa mengatakan keputusan tersebut dibuat oleh pemain berusia 22 tahun itu disebabkan kematian legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona.
Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang dalam kenyataannya kepada Sukanz menjelaskan penyertaan Hidalgo bersama pasukan dari pantai timur itu pada awal bulan ini tiada kaitan dengan Kiko Insa.
“Kehadiran Manuel Hidalgo ini tiada kaitan langsung dengan Kiko Insa, pemain berbakat ini diketahui oleh presiden iaitu YAM Tengku Muda, Tengku Abdul Rahman yang mempunyai hubungan baik dengan ejen sebenar iaitu Lucas Cominelli daripada agensi 7ORO SPORTS,” kata Suffian.
Lucas Cominelli merupakan bekas pemain Pahang yang pernah membantu pasukan tersebut meraih kejuaraan Liga Super pada edisi 2004.
Selepas bersara dan menjadi ejen pemain, beliau merupakan individu yang bertanggungjawab membawa dua pemain import, Matias Conti dan Yamil Romero ke Pahang.
“Dia yang mengenalkan (Manu) kepada YAM Tengku Abdul Rahman sebelum saya memulakan perbincangan dengan pihak Lucas, dan akhirnya berjaya membawa dia masuk ke sini [Sri Pahang],
“Isu Kiko ini tiada kena mengena langsung dengan perpindahan Manu ke sini samada sebagai ejen atau recommend pemain ini, sebabnya Manu sendiri tidak kenal langsung Kiko ini siapa, janganlah menjadi umpama lembu punya susu sapi dapat nama.”
Berdasarkan semakan di akaun Instagram milik Hidalgo juga jelas mencatatkan beliau diwakili oleh 7ORO SPORTS yang dirusukan Lucas Cominelli.
Suffian menjelaskan Hidalgo setakat ini telah memeterai kontrak sehingga penghujung musim ini sahaja dan pihaknya bersedia untuk menawarkan kontrak jangka masa panjang sekiranya pemain itu menampilkan prestasi yang memberangsangkan dan konsisten.
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Kurniawan Katakan Aksi Sabah Luar Biasa, Amri Yahyah Juga Ikut Luar Biasa!
Lima Tahun Di Malaysia, Adakah KL City Akan Naturalisasikan Paulo Josue?
Misteri Kehadiran Nick Swirad Di Darul Aman Akhirnya Terjawab