Kipre Tchetche muncul wira buat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di penghujung perlawanan untuk menewaskan KL City FC dengan keputusan 3-2.
Beraksi di Stadium Darul Aman, Kedah menampilkan aksi yang tidak kenal erti putus asa apabila bangkit untuk menewaskan The City Boys menerusi dua jaringan Kipre Tchetche dan Fayadh Zulkifli. Gol pelawat pula dihasilkan Paulo Josue dan Giancarlo.
Kedah turun di laman sendiri dengan rombakan besar dalam senarai kesebelasan utama dengan kemasukkan semula Rizal Ghazali, Renan Alves, Rodney Calvin, Syazwan Zainon dan Faizat Ghazli. Ketiadaan Kpah Sherman dan beberapa pemain yang pulih daripada kecederaan membolehkan perubahan pemain dibuat Aidil Sharin.
Bojan Hodak pula tidak membuat sebarang perubahan dalam kesebelasan utama pasukannya yang turun berdepan Terengganu minggu lalu dengan masih ketiadaan penyerang, Dominique da Sylva yang masih belum pulih dari kecederaan.
Kesebelasan utama Kedah Darul Aman dan Kuala Lumpur City untuk perlawanan LS10 jam 10 malam ini.
Siaran langsung di Sukan RTM, TV Okey, saluran YouTube unifi, unifi tv dan aplikasi playTV.#KDAKLC#LigaSuper2021 pic.twitter.com/sW8KaNBrTi
— Sukanz. (@sukanzcom) April 23, 2021
Semua mata tertumpu kepada penampilan sulung Renan Alves yang akhirnya kembali selepas sembilan minggu tersisih akibat kecederaan. Selain itu, gandingannya, Rodney Calvin juga kembali daripada penggantungan satu perlawanan dalam aksi minggu lalu.
Menariknya, gandingan kedua-dua pemain bersama Ariff Farhan dan Rizal Ghazali agak sukar digugat oleh KL City. Tekanan yang cuba diberikan gagal memecah blok pertahanan Kedah sehingga ke minit ke-22, baru berjaya menguji Shahril Sa’ari.
Paulo Josue dan Romel Morales antara penggerak utama KL City dalam usaha untuk memasuki kawasan defensif third lawan. Mereka lebih gemar memasuki menerusi kawasan tengah berbanding jentera sayap digerakkan Hadin Azman dan Fakrul Aiman.
Kedah pula tampil menggunakan bahagian sayap kanan untuk menekan KL City menerusi Rizal Ghazali yang kerap membuat overlapping. Dalam 10 minit awal, tuan rumah telah membuat tiga percubaan, namun digagalkan oleh penjaga gol lawan.
Kapten, Baddrol Bakhtiar hadir dengan dua percubaan menerusi rembatan kaki kiri dan tandukan, namun Kevin Mendoza berjaya menepis kedua-dua peluang tersebut. Kevin Mendoza juga cemerlang menafikan percubaan Kipre Tchetche dan Rabih Ataya.
KL City kembali mengimbangi perlawanan selepas membuat percubaan pertama di minit ke-22 dan menenggelamkan permainan skuad Hijau Kuning. Mereka membuat kawasan middle third lebih padat dalam usaha mengurangkan gerakan Rabih Ataya.
Skuad The City Boys memiliki dua peluang untuk meledak gol menerusi percubaan Hadin Azman dan Fakrul Aiman, namun gagal untuk menewaskan Shahril Sa’ari.
Kembali di babak kedua, pelawat tampil dengan lebih urgency dalam permainan dan hasilnya berjaya meledak jaringan pembukaan di minit ke-50 apabila Paulo Josue yang menerima hantaran Hadin Azman, melepaskan rembatan dari luar kotak penalti.
Kevin Mendoza meneruskan kecemerlangannya seperti di babak pertama dengan menafikan dua peluang oleh Kedah menerusi Fayadh Zulkifli dan Ariff Farhan. Selain itu, tuan rumah dilihat mula hilang rentak apabila lawan pantas menutup ruang.
Kemasukkan Azamuddin Akil dan Fadzrul Danel selepas sejam aksi dilihat mula memberikan impak kepada jentera tengah dalam mengatur asakan ke kubu lawan. Beberapa hantaran lintang dari sebelah kanan tuan rumah kembali dijana olehnya.
Hasilnya, hantaran ke belakang oleh Kipre Tchetche membelah beberapa pertahanan KL City dan penjaga gol berjaya menemui Fayadh Zulkifli untuk gol penyamaan. Gol kedua peribadinya itu membantu kembali menghidupkan semula permainan Kedah.
Kedah menambah asakan demi asakan menerusi Kipre Tchetche dan Fadzrul Danel, namun sedikit tersasar. Tanpa diduga, pelawat kembali di depan hasil tandukkan bek tengah, Giancarlo selepas menerima hantaran oleh Paulo Josue di minit ke-79.
70' GOL | Gol penyamaan Kedah Darul Aman FC dijaringkan oleh Fayadh Zulkifli Amin!@kda_fc 1-1 @KLCityFootball #LigaSuper2021 pic.twitter.com/DiC7vX8S6I
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 23, 2021
Dua kali pertahanan KL City terpaksa mengeluarkan percubaan Kedah menerusi Baddrol Bakhtiar dan Renan Alves di penghujung perlawanan bagi menafikan kebangkitan tuan rumah dalam memburu jaringan penyamaan.
Rozaimi Abdul Rahman yang dimasukkan di minit ke-86 berjaya mendapatkan penalti buat skuad Hijau Kuning yang akhirnya disempurnakan oleh Kipre Tchetche di penghujung perlawanan. Perlawanan menuju ke penamat dengan keputusan seri.
Kipre Tchetche terus menghukum KL City dengan jaringan ketiga dan kemenangan sebelum wisel penamat ditiup oleh pengadil selepas menerima bola yang diberikan oleh Renan Alves di depan gawang pelawat menewaskan Kevin Mendoza.
Kemenangan dramatik ini membolehkan Kedah memintas sebentar kedudukan kedua Terengganu FC dengan mengumpul 20 mata, tiga mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal turun berdepan Terengganu pada Sabtu.
KREDIT FEATURED IMAGE: KDA FC