Terengganu FC bangkit meledak dua gol untuk mengatasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan keputusan 2-1 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Penalti yang disempurnakan oleh David da Silva dan jaringan Azam Azmi sudah cukup buat Terengganu untuk memberikan kekalahan pertama tuan rumah selepas melalui enam perlawanan tanpa kalah selepas tewas dalam aksi pertama liga pada Mac.
Turun di halaman sendiri dengan prestasi yang semakin baik, Kedah tampil dengan dua perubahan di benteng selepas bek kanan Rizal Ghazali mengalami kecederaan. Tempatnya diambil alih Ariff Farhan dan Fandi Othman menggantikan Fairuz Zakaria.
Untuk Terengganu, Nafuzi Zain yang kian terdesak memburu kemenangan telah menyenaraikan semula penyerang import, David da Silva untuk posisi Jordan Mintah dan pemain sayap, Hakimi Abdullah masuk untuk menggantikan Nik Akif Syahiran.
Kesebelasan utama Kedah Darul Aman dan Terengganu untuk perlawanan LS8 jam 9 malam ini.
Siaran langsung di saluran YouTube unifi, unifi tv dan aplikasi PlayTV.#KDATER#LigaSuper2021 pic.twitter.com/Vn9sNWgalK
— Sukanz. (@sukanzcom) April 9, 2021
Sejak wisel permulaan, skuad Hijau Kuning menguasai rentak permainan, mungkin dibantu dengan sorakan penyokong yang sudah sekian lama menghilang. Terengganu tampak sedikit hanyut melayan penguasaan bola tuan rumah sepanjang 10 minit.
Walaupun menguasai baik permainan, Kedah hanya dua kali berjaya menguji Suhaimi Husin di gawang pelawat menerusi rembatan Rabih Ataya yang melewati palang dan rembatan jauh Ariff Farhan yang cemerlang diselamatkan penjaga gol lawan.
Selepas 15 minit barulah skuad Sang Penyu berjaya mengasak tuan rumah di kawasan defensif third lawan. Namun, apa yang mengecewakan mereka adalah benteng Kedah tampil tenang dalam menghalang dan menafikan gerakan yang cuba dicipta.
Shahril Sa’ari yang beraksi cemerlang ketika mengatasi Selangor hanya diuji pada minit ke-22. Namun, rembatan David da Silva yang kembali selepas enam aksi disisihkan kerana kecederaan, tampak mudah buat penjaga gol untuk menyelamatkannya.
Pemain muda, Hakimi Abdullah hampir mengejutkan tuan rumah pada minit ke-33, namun sepakan percumanya sekadar singgah di palang gol dan tiga minit kemudian, sepakan percuma Rabih Ataya pula diselamatkan oleh Suhaimi Husin di gawang.
Gol yang ditunggu-tunggu oleh Kedah akhirnya tiba menerusi jaringan sendiri oleh pemain pertahanan, Muhammad Mohd Fauzi di minit ke-40 selepas hadangannya terhadap hantaran Rabih Ataya terbias memasuki gawang pasukannya sendiri.
Terengganu berjaya menyamakan kedudukan lima minit kemudian menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh David da Silva – gol keduanya musim ini.
Babak kedua menyaksikan kebangkitan permainan Terengganu apabila mereka mula menguasai lebih banyak kawalan bola. Kedah pula dilihat bergelut dan telah memasukkan Azamuddin Akil untuk menambah impak di jentera serangan.
60' Gol | Azam Azmi Murad menyudahkan hantaran Faisal Abdul Halim untuk gol kedua Terengganu FC!@kda_fc 1-2 @FCTerengganu #LigaSuper2021 pic.twitter.com/eHqbOWjvWA
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 9, 2021
Dua kali dalam 10 minit pertama, Hakimi Abdullah hadir dengan larian pantas ke kawasan defensif third tuan rumah. Selain itu, Faisal Halim di sebelah kanan juga beberapa kali memberikan tekanan ke benteng tuan rumah dengan larian derasnya.
Hasilnya, Sang Penyu menghasilkan jaringan pendahuluan menerusi penyudah Azam Azmi di minit ke-60 selepas menerima hantaran lolos baik Faisal Halim. Selepas tujuh penampilan, pemain berusia 20 tahun itu berhasil meledak gol pertamanya.
Tidak pasti apa yang menghimpit skuad Hijau Kuning di babak kedua, mereka gagal memiliki kawalan bola, malah Kpah Sherman dan Kipre Tchetche berjaya disenyapkan oleh benteng pelawat selepas mengucar-kacirkan mereka di babak bertama.
Tuan rumah cuba memburu jaringan penyamaan dengan menggandakan asakan namun gagal menggegar gol lawan dan peluang terbaik hadir di minit ke-83 dan ke-87 menerusi pemain gantian, Rozaimi Abdul Rahman, namun disia-siakannya.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS8#LigaSuper2021 pic.twitter.com/4mwmF6TOqh
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 9, 2021
Situasi semakin tegang menuju ke penghujung perlawanan dengan layangan dua kad merah kepada pemain tuan rumah iaitu kepada Fadzrul Danel dan bek tengah, Rodney Calvin. Namun, Kedah harus mempersalahkan diri sendiri apabila mereka hilang sepanjang aksi babak kedua sebelum insiden layangan kad merah tersebut.
Kemenangan ini membantu Terengganu kembali menghimpit Kedah di kedudukan kedua Liga Super dengan 15 mata, dipisahkan hanya satu mata, selain telah menamatkan rentetan empat aksi tanpa sebarang kemenangan mereka sejak minggu ke-3.
KREDIT FEATURED IMAGE: KDA FC