Hukum Pemain Selangor 2, Adakah FAM Tiada Nilai Kemanusiaan?

Htet Aung Selangor 2 FAM

Pemain import Selangor 2 dari Myanmar, Hein Htet Aung telah menerima hukuman penggantungan satu perlawanan di atas tindakannya mempamerkan simbol yang didakwa ‘berbaur politik’ sewaktu aksi Liga Premier menentang PDRM FC pada 6 Mac lalu.

Pemain berusia 20 tahun itu turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat pada 24 Mac lepas yang turut membincangkan tindakan disiplin terhadap tiga pemain lain.

https://twitter.com/keren_khin/status/1368436209224011780?s=19

Htet Aung didakwa melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan dan bakal terlepas perlawanan keenam Liga Premier menentang Perak FC II pada 2 April 2021.

Nilai Kemanusiaan

Namun beberapa pihak berpendapat keputusan Jawatankuasa Tatatertib tersebut dianggap dangkal dan tidak sensitif kerana pergolakan yang sedang berlaku di Myanmar bukanlah semata-mata isu politik, tetapi ia melibatkan isu kemanusiaan.

Apakah salah untuk Htet Aung menyatakan solidaritinya terhadap rakyat Myanmar terkorban kerana berjuang menentang pencabulan demokrasi dan tindakan kekerasan di negara kelahirannya?

Gelombang tunjuk perasaan di Myanmar mula dicetuskan oleh pelajar-pelajar universiti dan kemudian disusuli oleh rakyat kebanyakan tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur.

Kekejaman junta

Akhirnya pertembungan rakyat dengan pihak berkuasa menyaksikan berlaku kematian dan tangkapan termasuk seorang remaja, Ma Kyal Sin yang mati selepas sebutir peluru tepat mengenai bahagian belakang kepalanya.

Gambar Kyal Sin berbaju hitam dengan tertera ayat ‘Everything will be OK’ menghiasi media seluruh dunia dan beliau dikenang sebagai puteri demokrasi Myanmar di atas keberaniannya meniupkan semangat jutaan penduduk Myanmar untuk terus melawan penguasaan junta.

Kyal Sin dengan berani menendang paip air hingga terbuka supaya penunjuk perasaan lain dapat mencuci muka daripada gas pemedih mata yang dilepaskan pihak berkuasa.

Ketika polis melepaskan tembakan, aktivis muda itu akan menjerit memberi amaran kepada orang lain untuk berlindung supaya tidak terkena peluru.  Beliau juga bertindak merawat dan melindungi orang lain yang didapati cedera.

Kemudian tiga hari lalu seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun menjadi korban paling muda selepas ditembak sewaktu sedang berlari ke arah bapanya ketika pihak polis membuat serbuan ke rumah bagi mematahkan sebarang usaha protes oleh rakyat.

Kumpulan hak asasi manusia melaporkan sejak rampasan kuasa bermula pada 1 Februari lalu, sekurang-kurangnya 261 orang telah terbunuh disebabkan tindakan keras junta terhadap peserta protes termasuk 20 daripadanya adalah golongan kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya 37 orang wartawan dan pengamal media tempatan dan luar negara telah ditahan kerana cuba untuk melaporkan keadaan sebenar yang sedang berlaku di negara tersebut.  Selain itu tahanan-tahanan juga telah dipukul dan diseksa sehingga berlaku lima kes kematian sewaktu dalam tahanan.

Banyak lagi kekejaman junta tentera di Myanmar boleh disaksikan menerusi media sosial.

Norway vs Qatar

Beberapa hari lalu pasukan Norway yang beraksi dalam perlawanan pembuka tirai pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Gibraltar menyatakan protes mereka terhadap negara tuan rumah kejohanan, Qatar yang dituduh menindas golongan buruh di negara berkenaan.

Semua pemain termasuk bintang muda Borussia Dortmund, Erling Haaland dan pemain Arsenal, Martin Odegaard masing-masing menyarung baju yang tertera mesej ‘Hak asasi manusia – dalam dan luar padang’, sebelum sepak mula di mana mereka menang 3-0 pada perlawanan itu.

Ia disusuli pula dengan solidariti skuad kebangsaan Jerman yang turut mengambil tindakan serupa dalam menyokong nilai kemanusiaan.

https://twitter.com/AdemBdrByzd/status/1375414964119293957?s=19

Ia susulan pendedahan beberapa media antarabangsa yang melaporkan lebih 6,500 golongan pekerja asing telah meninggal dunia disebabkan kemalangan di tempat kerja atau penyakit berkaitan dengan pekerjaan mereka bermula dari 2011 hingga 2019 di samping penerimaan upah atau gaji yang tidak setimpal.

Namun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk tidak membuka siasatan mahupun mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap skuad Norway atas dasar kebebasan bersuara dalam sukan bola sepak.

Penutup

Sebagai sebuah organasasi yang mendakwa diwakili oleh ‘golongan profesional’, FAM sewajarnya membuat pertimbangan dan penilaian dengan mengambil kira faktor-faktor yang dinyatakan di atas sebelum menjatuhkan hukuman terhadap Htet Aung.

Terdapat perbezaan yang besar di antara isu ‘berbaur politik’ dengan isu kemanusiaan yang melibatkan kematian rakyat marhaen yang ‘dibantai’ oleh sebuah rejim di Myanmar sehingga melibatkan angka korban yang tinggi.

Adakah salah untuk Htet Aung menyatakan sokongan dan solidariti kepada rakyat negaranya? Atau mungkin juga nilai manusiawi dalam diri setiap ahli Jawatankuasa Tertib FAM telah hilang sama sekali.

Kredit Foto: Selangor FC

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

‘Apa Istimewanya Natxo Insa?’ – Keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM Cetus Kemarahan

Jika Lutut Tidak ‘Barai’ Kali Ke-3, Azalinullah Sepatutnya Layak Sarung Jersi Harimau Malaya

Senarai Perbuatan FAM & MFL Yang Boleh Buat Penyokong Muak

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN