Penyerang Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abd Radzak menganggap keputusan Malaysian Football League (MFL) membatalkan penganjuran Piala FA pada musim ini adalah relevan susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara yang mengakibatkan sepak mula Liga Malaysia ditunda pada 5 Mac ini.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Zaquan turut memahami jadual padat yang akan ditempuhi oleh semua pasukan sekiranya Piala FA tetap diteruskan ketika tempoh saingan Liga Musim ini semakin singkat.
Jelasnya, sebagai pemain, mereka memerlukan tempoh masa yang mencukupi untuk berehat selepas sesuatu perlawanan dan jadual yang cukup padat akan mengundang kepada risiko kecederaan sekali gus memberi kesan buruk kepada pasukan.
Apatah lagi dalam situasi yang sedang melanda seluruh negara ketika ini, adalah wajar agar semua pihak memahami sesuatu keputusan yang diambil demi kebaikan semua pasukan untuk memastikan kelancaran Liga Malaysia 2021.
”Secara peribadi, saya rasa sebenarnya ramai yang tidak tahu mengenai bagaimana jadual liga itu dibuat, tetapi kami sebagai pemain tahu faktor-faktor tertentu kenapa jadual dibuat sebegitu.”
”Sebelum COVID-19 melanda, memang kita boleh harungi semua perlawanan baik Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup di mana kita boleh ada ruang dan masa untuk memastikan semua itu berjalan seperti yang dirancang.”
”Tetapi dalam situasi pandemik sekarang, kita tahu agak mustahil nak menempuh semua saingan dalam satu masa singkat sebab boleh merisikokan pemain kepada kecederaan apabila jadual terlalu padat.”
”Jadi saya rasa, MFL membuat keputusan yang wajar dalam keadaan COVID-19 yang melanda negara sekarang dan sekurang-kurangnya kita masih lagi boleh beraksi dalam saingan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup pada musim ini,” tambah Zaquan Adha lagi.
Kredit featured image: Stanley Chou/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Zaquan Adha:
‘Harap Ianya Selesai Menjelang Aidilfitri’ – Zaquan Adha Masih Taruh Keyakinan