Manchester United: 7 Sebab Mengapa Kejuaraan EPL Musim Ini Hanya Mimpi Palsu

Manchester United bakal bergelar juara Liga Perdana Inggeris 2020/21? Sejauh manakah kemungkinan itu?Menurut pengurus Manchester City Pep Guardiola musim ini berpotensi menjadi musim paling sengit untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selain daripada pasukan kendaliannya, Manchester United, Leicester City, Liverpool, Everton dan Tottenham Hotspur adalah antara kelab yang masih dalam pertandingan menggapai kejuaraan.

Terlampau banyak kejutan berlaku pada musim ini. Prestasi tidak menentu Liverpool berhadapan kelab bawahan seperti West Brom, Burnley, dan Fulham sedikit merisaukan tatkala berhadapan dengan kecederaan pemain utama mereka di bahagian pertahanan.

Leicester City dan Everton pula masing-masing mengintai untuk terus bersaing, dan siapa yang boleh menjangkakan apa yang akan berlaku pada separuh musim kedua ini. Begitu juga Tottenham Hotspur di bawah bimbingan Jose Mourinho yang mengharapkan sentuhan magis pengendali dari Portugal itu untuk kejuaraan pertama mereka sejak 1961.

Manchester United misalnya sebelum ini tidak dianggap sebagai pesaing kejuaraan. Kini secara tiba-tiba mereka melaungkan keyakinan untuk bergelar juara pada musim ini setelah menduduki kedudukan teratas liga untuk majoriti bulan Januari.

Persoalannya sejauh manakah keyakinan Manchester United untuk merangkul kejuaraan pada musim ini? Atau adakah ianya harapan palsu semata-mata yang dibantu oleh elemen nasib? Berikut adalah tujuh sebab mengapa kami percata EPL pada musim ini hanya mimpi palsu buat Manchester United.

Tiada kejuaraan pada Januari

Manchester United pertama kali merampas kedudukan teratas liga selepas menewaskan Burnley 1-0 pada 13 Januari lalu. Ia adalah kali pertama Manchester United berada di posisi tersebut sejak 2017.

Secara keseluruhan, Manchester United perlu menunggu selama 40 bulan untuk bergelar pendahulu liga. Walaupun dipintas seketika oleh Manchester City pada 21 Januari lalu, Man United kembali ke persada liga dengan kemenangan ke atas Fulham.

Kekalahan 2-1 kepada Sheffield United bagaimanapun menyebabkan City memintas kedudukan sebagai pendahulu, dan Man United kini berada di kedudukan kedua dibezakan satu mata dengan skuad kendalian Pep Guardiola masih memiliki kelebihan satu perlawanan di dalam tangan.

Satu perkara yang pasti, tiada trofi kejuaraan yang akan dimenangi seawal Januari, Masih ada 18 perlawanan perlu dihadapi dan saingan masih lagi panjang. Tidak salah untuk melaungkan keyakinan, namun pada masa yang sama semua pasukan terutamanya Man United perlu berpijak di bumi yang nyata.

Tidak berbelanja pada Januari

Selain daripada pemain muda yang dilihat sebagai prospek masa depan, Amad Diallo, Manchester United tidak membuat sebarang pembelian lain di jendela perpindahan Januari.

Di sebalik pandemik yang melanda, struktur kewangan Manchester United adalah yang paling kukuh di Eropah. Sepatutnya mereka tidak harus takut untuk berbelanja, khususnya untuk memperkuatkan beberapa posisi penting yang dianggap krtitikal di dalam pasukan.

Berdasarkan prestasi terkini, Man United memerlukan seorang bek tengah, pemain sayap kanan, dan seorang penyerang yang klinikal di hadapan. Namun menuju ke hari-hari terakhir perpindahan, tiada sebarang pergerakan setakat ini dalam aktiviti perpindahan oleh United.

Manchester United sepatutnya sedar akan kepentingan pembelian pada Januari dalam memperkuatkan pasukan – khususnya untuk memburu kejuaraan. Paling hampir ialah impak yang dibawa oleh Bruno Fernandes pada pembelian Januari lalu.

Begitu juga ketibaan Nemanja Vidic dan Patrice Evra pada era Sir Alex Ferguson, dan Henrik Larsson pada 2007.

Aksi tidak konsisten

Aksi tidak konsisten telah menghantui Manchester United sejak ketibaan Ole Gunnar Solksjaer. Ada masanya, Manchester United beraksi amat cemerlang dan dilihat seperti mampu menewaskan mana-mana pasukan lain di dunia.

Namun ada masanya anda tidak boleh menjangkakan apakah keputusan perlawanan membabitkan Man United. Contoh terbaru ialah apabila mereka tewas mengejut kepada pasukan tangga tercorot, Sheffield United pada minggu ini.

Selepas cemerlang menewaskan Liverpool dalam perlawanan sebelumnya di Old Trafford, skuad kendalian Solksjaer longlai pada perlawanan berikutnya di venue yang sama.

Perkara ini bukan kali pertama berlaku. Kekalahan mengejut kepada Istanbul Basaksehir di pertandingan Champions League misalnya turut membuatkan mereka terkeluar dari pertandingan elit eropah itu seawal peringkat kumpulan. Begitu juga ketika anak buah Solksjaer longlai kepada Crystal Palace di tempat sendiri pada perlawanan pertama pada awal musim.

Jadual yang padat

Sebelum ini pengurus Liverpool Jurgen Klopp tidak henti-henti menyalahkan jadual perlawanan yang padat sebagai punca krisis kecederaan di kem Liverpool. Perkara sama turut pernah diluahkan oleh Solksjaer dan Pep Guardiola sebelum itu lagi.

Kemuncaknya ialah leteran lapan minit terhadap wartawan BT Sport Des Kelly selepas pasukannya sekadar menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1.

Kekecewaan Klopp sememangnya boleh difahami. Tatkala tempoh kempen dipendekkan akibat pandemik yang melanda, ia membuatkan jadual perlawanan semakin bertimbun. Benar, semua pasukan berhadapan dengan situasi dan masalah yang sama.

Namun bagi kelab-kelab utama England seperti Liverpool, Manchester United dan Manchester City, mereka turut bersaing di pertandingan eropah – yang membawa maksud lebih banyak perlawanan perlu ditempuhi selepas ini.

Tatkala liga-liga utama eropah yang lain membenarkan setiap pasukan melakukan lima pertukaran untuk mengelakkan pemain keletihan dan mengalami kecederaan, Premier League memilih untuk mengekalkan peraturan tiga peraturan. Man United juga cemerlang dengan Project Restart yang memperkenalkan lima pertukaran pemain.

Buat masa ini, Man United belum lagi mengalami kecederaan serius terhadap mana-mana pemain. Namun tanda-tanda keletihan itu jelas kelihatan. Apakah nasib Man United sekiranya hilang tonggak utama mereka akibat kecederaan panjang?

Terlampau bergantung kepada Bruno Fernandes

Sejak tiba dari Sporting Lisbon pada jendela perpindahan Januari tahun lalu, Bruno Fernandes telah beraksi dalam 51 perlawanan, menjaringkan 28 gol dan menghasilkan 17 assist. Ini bermakna Fernandes telah terlibat dalam 45 gol sejak bergelar pemain Manchester United.

Dan sejak ketibaan Fernandes juga, Manchester United hanya tercicir 26 mata dari 102 mata maksimum yang boleh dikumpul sepanjang tempoh itu. Ini bermakna Man United mengumpul purata 2.23 mata pada setiap perlawanan sejak ketibaan Bruno Fernandes berbanding dengan purata 1.78 mata pada keseluruhan musim sebelumnya.

Statistik ringkas ini cukup untuk menjelaskan impak yang dibawa oleh Bruno Fernandes. Walaupun ia menjelaskan bagaimana Manchester United begitu telus ketika menilai pemain di jendela perpindahan pada era Solksjaer, ia juga petanda Manchester United terlalu bergantung kepada pemain ini dalam setiap perlawanan.

Mampukah Bruno Fernandes memikul beban di Manchester United seorang diri?

Man City temui rentak

Tujuh kemenangan dari tujuh perlawanan berturut-turut, dan berjaya mengumpul 23 mata dari 25 mata maksimun sejak Disember lalu, Manchester City adalah pasukan yang harus mulai diberikan tumpuan pada separuh musim kedua ini.

Walaupun dilihat memulakan kempen pada musim ini denga agak perlahan, skuad kendalian Pep Guardiola secara perlahan-lahan mulai menemui rentak kemenangan tepat pada masanya untuk kembali menjadi pencabar kejuaraan.

Kecederaan terhadap Kevin de Bruyne yang bakal menyisihkan pemain perancang itu selama enam minggu pada mulanya amat merisaukan kem Man City.

Namun jika ada keraguan mengenai kemampuan Guardiola dan anak-anak buahnya, maka aksi cemerlang membelasah West Brom 5-0 dua hari lalu juga mengingatkan kita mengenai squad depth yang dimiliki oleh mereka.

Selepas dikecewakan Liverpool pada musim lalu, Manchester City pasti mahu trofi Premier League kembali ke Etihad sebagai isyarat jelas dominasi domestik di England sebenarnya adalah milik mereka.

Man Utd No.10

Apakah sasaran paling realistik buat Manchester United? Berdasarkan kutipan mata terkini dan jumlah perlawanan yang perlu dilalui, pelbagai kemungkinan masih boleh berlaku. Malah Manchester United masih boleh mengakhiri saingan di pertengahan liga di kedudukan ke-10. Penyokong Manchester United pasti tidak gemar akan kenyataan ini, namun ia adalah realiti nyata buat masa ini.

Jika Jurgen Klopp memerlukan sehingga lima tahun untuk membentuk sebuah pasukan cemerlang di Liverpool, maka Manchester United dan Ole Gunnar Solksjaer juga tidak ada bezanya. Solksjaer baru dua tahun membimbing Man United. Banyak perkara telah dilakukan, namun skuad Man United sedia ada sebenarnya masih lagi di fasa pembikinan.

https://twitter.com/FootbalIStuff/status/1353640276405997568

Atau anda boleh sahaja melakukan perbandingan dengan Sir Alex Ferguson. Pengurus legenda itu tiba di Old Trafford pada 1986 dan hanya memenangi trofi pertamanya di pertandingan Piala FA tiga tahun kemudian.

Manchester United menjulang trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertamanya pada musim 1992/93, tujuh tahun selepas Sir Alex bergelar pengurus Manchester United. Kita semua tahu apa yang dilalui Manchester United selepas itu.

Demikianlah realiti sebenarnya, dan Ole Gunnar Solksjaer pasti sedar akan hakikat itu. Empat tempat teratas masih sasaran paling realistik pada musim ini, selain dari memenangi salah satu trofi domestik/eropah yang dipertandingkan.

Penutup

Apa pendapat penyokong Manchester United? Anda masih mengimpikan kejuaraan musim ini milik Manchester United? Kali terakhir Manchester United merangkul kejuaraan liga ialah 7 tahun yang lalu. Selepas apa yang dilalui oleh Manchester United setakat ini pada musim ini, sukar untuk menafikan Manchester United telah melalui musim ini dengan baik sekali.

Malah Manchester United kini berada di landasan terbaik untuk berbuat demikian. Bak kata pepatah, bola itu bulat. Apa-apa pun boleh berlaku di dalam bola sepak. Maka tidaklah salah untuk berharap. Kerana pengharapan itulah membentuk jati diri penyokong. Janganlah kita lupaa yang berharap dan memasang mimpi lebih lama daripada kalian.

 

Baca artikel menarik lain mengenai Manchester United:

Anthony Martial: Pernah Jadi Sanjungan Di Old Trafford, Kini Menuju Kehancuran?

5 Pemain Manchester United Yang Balik Lewat Untuk Latihan Tambahan Sepakan Percuma

Falsafah Bola Sepak 4-2-2-2 Ralph Hasenhuttl & Pentstrukturan Semula Yang Kembalikan Wajah Southampton

10 Pemain Projek Remaja Berbakat Manchester United, Termasuk Amad Diallo Yang Baharu Tiba

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN