Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tanpa berselindung mendedahkan bahawa pemain tengah kelahiran Belanda, Donny van de Beek tidak gembira berada di kem pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 itu.
Keadaan tersebut juga sudah pasti mudah untuk diketahui para peminat Manchester United kerana beliau pada ketika ini jelas kekurangan minit perlawanan yang diharapkan sebaik sahaja menyertai United dari Ajax pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Berdasarkan statistik musim ini, Van de Beek hanya dua kali diturunkan di kesebelasan utama kempen EPL. Lebih perit untuk diperkatakan, beliau langsung tidak diberikan peluang beraksi pada enam perlawanan terakhir saingan liga dan sekadar menghangatkan bangku simpanan.
Solskjaer juga pada ketika ini kelihatan lebih berminat untuk menggunakan khidmat Scott McTominay dan Fred bagi membantu Bruno Fernandes dan Paul Pogba yang kelihatan cemerlang sehingga membantu United memimpin carta liga dengan kelebihan dua mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester City.
Keadaan tersebut menjurus kepada rasa kurang senang de Beek yang jelas amat mengharapkan beliau akan mendapat lebih banyak minit perlawanan.
”Saya tidak boleh mengatakan Donny gembira pada ketika ini,” ujar Solskjaer menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Kami telah melakukan dengan baik dan mempunyai ramai pemain yang beraksi cemerlang di posisi sama dengannya.”
”Dia benar-benar mengingatkan tentang diri saya, apabila pertama kali saya menyertai pasukan, tetapi dia memahami cabaran dan kesulitan yang bakal dihadapi.”
”Saya juga senasib [seperti de Beek] ketika bersama Sir Alex [Ferguson]. Apabila dia tidak memasukkan saya, saya memahami dan gembira di atas kemenangan pasukan dan Donny merupakan pemain seperti itu.”
”Dia tahu bahawa dia seorang pemain yang penting buat kami dan mengetahui dia akan bermain banyak perlawanan,” tambah Solskjaer lagi.
Kredit featured image: Matthew Peters/Manchester United via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Solskjaer dan de Beek: