Legenda Paris Saint-Germain (PSG), Jean-Pierre Papin menyindir penyerang kelab tersebut, Mauro Icardi dengan menganggap pemain kelahiran Argentina itu sebagai seorang yang tidak sukakan persaingan bagi merebut tempat.
Kecemerlangan Icardi ketika meledakkan 20 gol buat PSG pada musim lalu tidak dapat diteruskan apabila pemain berusia 27 tahun itu cukup bergelut untuk mempamerkan aksi terbaiknya pada kempen 2020/21.
Tambahan pula, kecederaan dialami menyaksikan beliau hanya mampu membuat enam penampilan pada musim ini sekali gus memberikan ruang buat Moise Kean yang kini sedang menikmati prestasi hebat bersama kelab tersebut.
Meskipun beliau berjaya menjaringkan gol sebaik sahaja kembali daripada kecederaan ketika aksi menentang Brest pada Ahad lalu, ia masih belum dapat meyakinkan Papin.
Papin turut menyifatkan Icardi berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri beraksi di samping bintang dunia seperti Neymar dan Kylian Mbappe.
”Ketika saya melihat dia beraksi setahun lalu, saya tidak melihat dia ingin bermain di tahap maksimum. Bagaimana perkara itu terjadi?”
”Dari bahasa tubuhnya, saya tidak melihat perkara itu. Dari apa yang saya lihat dalam dirinya, saya mempunyai keraguan yang hebat mengenai personalitinya.”
”Saya merasakan dia tidak suka kepada persaingan. Di Inter dia sangat mengagumkan tetapi dia merupakan ketua pasukan dan pemain bintang yang tidak perlu dipertikaikan.”
”Di Paris, dia merupakan bintang ‘biasa-biasa’ sahaja dan dia di belakang Neymar, Mbappe dan beberapa pemain lagi,” ujar Papin menurut laporan dikeluarkan Goal.
Dipinjamkan ke PSG dari Inter Milan pada musim lalu, Icardi kemudiannya direkrut secara tetap dengan yuran perpindahan berjumlah €50 juta.
Kredit featured image: David Ramos/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Mauro Icardi:
Giuseppe Bergomi: Kehilangan Mauro Icardi Tidak Beri Kesan Buat Inter Milan