Pemain muda, Dejan Kulusevski menggesa rakan senegaranya, Zlatan Ibrahimovic supaya keluar daripada persaraan di pentas antarabangsa untuk memperkuatkan skuad kebangsaan Sweden bagi menghadapi kempen Euro 2020.
Kejohanan yang sepatutnya berlangsung pada 12 Jun hingga 12 Julai tahun lalu terpaksa ditunda ke 11 Jun hingga 11 Julai 2021 ekoran serangan menggila wabak COVID-19 di seluruh dunia bermula Mac 2020.
Melihatkan kepada sumbangan berkesan yang ditampilkan penyerang berusia 39 tahun itu bersama AC Milan, Kulusevski merasakan Ibrahimovic masih mampu untuk menjadi tunjang kepada jentera serangan Sweden.
Kali terakhir Ibrahimovic menyarung jersi skuad Sweden adalah ketika kempen Euro 2016 di Perancis yang mana pasukannya gagal melepasi peringkat kumpulan apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Republic Ireland manakala tewas kedua-dua perlawanan menentang Itali dan Belgium. Selepas itu, secara rasminya beliau mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa.
”Kami saling berhubung antara satu sama lain,” ujar Kulusevski menurut laporan yang dikeluarkan oleh Goal.
”Dia merupakan idola bagi saya, yang mana amat sukar buat sesiapa sahaja di dunia ini untuk melakukan apa yang dibuktikannya pada ketika ini.”
”Ketika dia sangat memuji kemampuan saya, ia membuatkan saya untuk bekerja dengan lebih keras pada sesi latihan berikutnya, kerana saya berasa sangat berbangga dengan pujian itu.”
”Saya benar-benar berharap dia dapat kembali ke tugasan skuad Sweden bagi menghadapi saingan Euro nanti.”
”Ia akan menjadi sesuatu yang amat hebat buat saya dan semua rakan sepasukan skuad kebangsaan Sweden. Ayuh, Ibra! Tambah pemain sayap meningkat naik itu lagi.
Meskipun sekadar beraksi pada tujuh perlawanan setakat ini susulan beberapa kecederaan yang dialaminya, Ibrahimovic berupaya meledakkan 10 jaringan untuk meletakkannya di tangga keempat senarai penjaring terbanyak Serie A 2020/21, hanya ketinggalan lima gol di belakang pendahulu, Cristiano Ronaldo.
Ibrahimovic yang pada mulanya cemerlang apabila berjaya menjaringkan gol dalam lima perlawanan berturut-turut [8 gol] terpaksa menelan kepahitan terlepas lapan perlawanan. Bagaimanapun beliau yang sudah pulih daripada kecederaan telah diberikan peluang beraksi selama lima minit pada perlawanan menentang Torino, kelmarin.
Dengan saingan liga yang baharu memasuki 17 perlawanan dan beliau sudah pulih dari kecederaan, pastinya banyak lagi perkara menarik bakal ditampilkan olehnya.
Kredit featured image: Emilio Andreoli/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Kulusevski dan Ibrahimovic:
Dejan Kulusevski: 5 Perkara Mengenai Rekrut Terbaharu Juventus
Serie A ‘Hidup Semula’ Kerana Zlatan Ibrahimovic, Bukan Ronaldo