Penang FC Telah Diambil Alih Oleh Usahawan ‘Sarung Tangan dan Kondom’?

Penang FC usahawan muda Razalif Mohamad zain pemilik 2021

Borong sakan! Itu yang boleh dikatakan kepada aktiviti transaksi keluar masuk pemain Penang FC sejak bakal kembali memeriahkan saingan Liga Super 2021.

Selain itu, terdapat juga khabar angin yang Penang FC kini telah dimiliki sepenuhnya oleh seorang usahawan dari Pulau Pinang, Razalif Mohamad Zain yang merupakan Presiden sebuah syarikat pembuatan sarung tangan getah asli dan kondom.

Terima kasih Manzoor Azwira

Harimau Kumbang kembali ke Liga Super selepas tiga musim bergelumang di Liga Premier. Kali terakhir mereka bersaing di Liga Super adalah pada musim 2017, dimana menyaksikan mereka terjerumus semula ke Liga Premier apabila menamatkan musim di kedudukan tercorot dengan hanya 12 mata diraih – kedua terburuk sejak 2004.

Angin perubahan dibawa oleh pengendali yang merupakan bekas pemain mereka, Manzoor Azwira kembali menaikkan status Penang FC daripada pasukan bergelut kepada pencabar terkuat di Liga Premier. Beliau telah melonjak mereka sehingga ke kedudukan ketiga daripada zon penyingkiran apabila mengambil alih di tengah musim.

Penang FC dan sudah tentu para penyokong perlu berterima kasih kepada Manzoor Azwira yang berjaya membawa semula ‘roh’ kebangkitan kepada mereka. Musim kedua di bawahnya, mereka menjuarai saingan Liga Premier dan layak ke Liga Super.

Sejak meraih tiket untuk kembali ke Liga Super, Penang FC dilihat bersungguh-sungguh memburu pemain baharu. Mana mungkin mereka menggunakan barisan pemain yang sama kerana cabaran di Liga Super berbeza. Mungkin itulah perancangan mereka.

Setakat ini, 13 pemain baharu telah dibawa masuk antaranya yang terkini seperti D. Saarvindran, David Rowley dan Zafuan Azeman. Sebelum ini, Harimau Kumbang telah membawa masuk pemain-pemain antaranya seperti penjaga gol, Brian See Tian Keat, Quentin Cheng, C. Suwarna Raj, Fadhil Idris dan penyerang, Sheriddin Boboev.

Presiden baharu yang juga ahli politik

Pengurusan skuad bola sepak Pulau Pinang kini sudah bertukar tangan dan dikenali sebagai Penang FC. Mereka tidak lagi di bawah pentadbiran Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) walaupun pada awalnya terdapat beberapa wajah yang sama.

Masih belum ada pengumuman rasmi daripada Penang FC, namun telah tersebar mengenai pertukaran Presiden apabila dimaklumkan Razalif Mohamad Zain, usahawan sebuah syarikat pembuatan sarung tangan getah asli dan kondom, Metamorphosis Skills Sdn Bhd telah berjaya mengambil alih pemilikan Penang FC.

Begitupun, khabar itu disambut dengan berhati-hati oleh para penyokong dek kerana Razalif dikatakan adalah Ketua ARMADA Bukit Bendera, salah satu sayap parti politik, Bersatu. Ya, mereka berhati-hati disebabkan beliau masih seorang ahli politik.

Sebelum ini, Penang FC diterajui seorang ahli politik juga iaitu Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah yang merupakan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang.

Di bawah pentadbirannya, Penang FC masih bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan negeri dan beberapa kali melalui masalah tunggakan gaji disebabkan dana kerajaan negeri yang sedikit lewat diperolehi. Tiada penajaan daripada syarikat swasta.

Sudah lulus lesen kelab kebangsaan

Begitupun, angin perubahan dari pengurusan dan juga kejurulatihan diharapkan akan memantapkan persediaan Penang FC untuk saingan Liga Super musim depan.

Harimau Kumbang sudah pun melantik ketua jurulatih yang baharu, Tomas Trucha dari Croatia untuk membimbing pasukan dan akan dibantu oleh Manzoor Azwira yang tidak dapat meneruskan tugasannya dek kerana tidak memiliki Lesen Pro A.

Dapat dilihat setakat ini, Penang FC sudah memulakan sesi latihan pasukan (kembali tertangguh akibat arahan Perintah Kawalan Pergerakan) dan tunggakan gaji bulan Oktober dan November 2020 juga telah dilangsaikan oleh Penang FC.

Selain itu, Penang FC juga telah diluluskan sepenuhnya lesen kelab kebangsaan untuk bersaing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Sebelum ini, mereka hanya diberikan lesen bersyarat.

Adakah perubahan pemilikan nanti akan memberikan nafas baharu buat skuad Penang FC yang saban musim melalui masalah tunggakan gaji? Setakat ini, belum ada pengumuman mengenai tajaan daripada mana-mana syarikat swasta selain khabar angin perubahan pemilik kepada usahawan muda Pulau Pinang, Razalif.

KREDIT FEATURED IMAGE: Yayasan Metamorphosis

Baca lagi artikel lain mengenai Penang FC:

Pernah Dikaitkan Dengan Kelantan, Ini 3 Fakta Pengendali Baharu Penang FC, Tomas Trucha

5 Kelebihan Ryuji Utomo Yang Boleh Bantu Penang FC Di Liga Super

Penjaga Gol Ke-4 Terbaik Liga Super, Bryan See Tekad Cabar Slot Utama Penang FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN