Selepas ‘menghilangkan diri’ dari Liga Malaysia (Liga M), Zafuan Azeman kembali apabila menyertai pasukan baharu Liga Super, Penang FC bersama D. Saarvindran.
Penang FC mengumumkan kemasukkan Zafuan Azeman dan Saarvindran yang tidak dilanjutkan kontrak bersama Terengganu FC, semalam. Kedua-duanya pernah beraksi bersama skuad muda negara dan bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).
Satu tambah nilai yang baik buat skuad Penang FC berdasarkan pengalaman kedua-duanya. Zafuan Azeman yang baru berusia 21 tahun itu beraksi bersama Angthong FC di Thai League 3, tetapi ditamatkan kontrak Mei lalu akibat masalah kewangan kelab.
Zafuan Azeman kembali selepas ‘hilang’
Itu adalah kali kedua kontraknya ditamatkan selepas kali pertama melaluinya ketika bersama Perlis apabila pasukan tersebut berakhir ‘hayatnya’ sebelum sempat bersaing di Liga M, selepas menandatangani pemain-pemain ternama di Malaysia pada 2019.
Sebelum itu, selepas meninggalkan SSBJ, Zafuan Azeman pulang ke Kedah dan beraksi seketika bersama mereka pada 2018 dan telah membuat dua penampilan.
Sejak itu, beliau memilih untuk menjalani ujian percubaan bersama beberapa pasukan di luar negara. Ini didorong atas faktor majoriti pasukan di Liga M lebih menonjolkan penyerang import berbanding tempatan, selain nasihat daripada dua bekas rakan sepasukannya di Kedah iaitu Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva.
Zafuan Azeman is currently trialling at Venezia FC in Italy. pic.twitter.com/7zli3zR7vf
— Harimau Abroad🐯🇲🇾✈️ (@harimau_abroad) December 17, 2018
Katanya kepada Goal Malaysia dalam temu bual sekitar 2018 lalu, “Di Kedah, saya rapat dengan Liri [Liridon] dan Sandro. Mereka kata kepada saya, jangan ikuti langkah dan mentaliti pemain tempatan lain. Menurut mereka, jika saya mahu sampai ke tahap seperti mereka, saya perlu mula bermain di luar negara.”
Untuk rekod, beliau pernah datang seketika ke Penang FC selepas kes dengan Perlis namun, atas masalah peribadi, beliau memilih untuk meninggalkan pasukan.
Beliau juga pernah mencuba nasib bersama kelab Thai League 1, Bangkok United dan Chainat Hornbill (Thai League 2) sehingga ke Itali bersama Venezia FC yang bersaing di Serie B. Namun, tiada kontrak ditawarkan kepadanya sehinggalah beliau berjaya mendapatkannya bersama Angthong FC (Thai League 3).
Zafuan Azeman confirmed he has been released by Angthong FC. pic.twitter.com/tGdna1ZJEU
— Harimau Abroad🐯🇲🇾✈️ (@harimau_abroad) May 8, 2020
D. Saarvindran pernah bersama TFC, Pahang & JDT
Pemain sayap kiri yang pernah beraksi bersama dua gergasi bola sepak negara, Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) ini berada semusim di Terengganu FC. Begitupun, beliau hanya tampil empat kali dan merekodkan 113 minit permainan.
Pemain berbakat besar ketika di usia remajanya ini masih gagal menempatkan diri di kalangan pemain ternama di Liga M walaupun sudah menginjak ke usia 28 tahun. Dan majoriti pasukan yang disertainya tidak memberikan lebih peluang buat dirinya beraksi.
Ketika bersama JDT, beliau lebih kerap beraksi bersama JDT II di saingan Liga Premier. Musim lalu, beliau akhirnya memilih untuk keluar dari JDT mencari cabaran baharu.
Berhijrah ke Penang FC diharapkan akan mampu memberikan semula peluang buatnya untuk beraksi lebih kerap. Namun, harus diingat, Harimau Kumbang juga memiliki pemain sayap kiri yang bagus iaitu Amer Azahar dan Nurfais Johari.
Hasrat D. Saarvindran Beraksi Di Pentas Asia Kali Kedua Terbantut https://t.co/LgR3Qhla9R pic.twitter.com/7GCgcp5cMF
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 30, 2020
Pengalamannya bersama Harimau Muda, Pahang, JDT dan Terengganu diharapkan akan memudahkannya menempatkan diri dalam kesebelasan utama pasukan.
Penutup
Kedua-dua pemain ini sudah agak lama tidak mewarnai peta Liga M, sama ada berada di luar negara ataupun kurang mendapat peluang beraksi bersama beberapa pasukan. Namun, dari segi pengalaman, kedua-duanya memiliki sedikit kelebihan.
Apa pandangan penyokong Penang FC dengan penyertaan Zafuan Azeman dan Saarvindran? Sehingga kini, mereka benar-benar borong sakan pemain dan adakah mereka bersedia dari segi kekuatan pasukan serta kewangan pasukan?
KREDIT FEATURED IMAGE: PENANG FC
Baca lagi artikel lain mengenai Zafuan Azeman dan D. Saarvindran:
Bekas Pemain JDT II, D. Saarvindran Bakal Berhijrah Ke Terengganu FC?