CIMB, AirAsia Ucap Selamat Tinggal Buat Saingan Liga Malaysia 2021

CIMB

Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan bahawa dua rakan penaja, CIMB dan AirAsia membuat keputusan untuk tidak mahu meneruskan penajaan mereka bagi saingan Liga Malaysia 2021 yang akan bermula pada 26 Februari tahun depan.

Perkembangan terbaharu itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan menerusi laman  Facebook rasmi penganjur bola sepak tempatan tersebut, sebentar tadi.

Berikutan kesan daripada serangan wabak COVID-19 yang melanda tanah air sehingga saingan liga sekadar diadakan hanya satu pusingan dan aksi Piala Malaysia juga terpaksa dibatalkan, keputusan itu sebenarnya bukanlah perkara yang memeranjatkan.

Meskipun ia sudah pastinya merupakan keputusan yang sukar terutamanya buat MFL tetapi Ab Ghani tetap menghormati keputusan yang diambil CIMB dan AirAsia dan mengakui pihaknya masih positif dengan perancangan yang dirangka sebelum ini.

”AirAsia telah menyatakan hasrat mereka untuk tidak melanjutkan penajaan bersama MFL bagi saingan Liga Malaysia musim 2021.”

”Sementara CIMB, MFL telah mengadakan pertemuan dengan mereka pada tiga hari lalu dan menyatakan hajat yang sama di mana pihak kami kini menunggu surat secara rasmi daripada CIMB yang tidak mahu melanjutkan penajaan bagi musim depan.”

”Saya mewakili pihak MFL mahu mengambil kesempatan untuk melahirkan penghargaan kepada setiap penaja ini di atas sumbangan mereka kepada bola sepak negara ketika kita semua berdepan detik sukar dalam pandemik COVID-19 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Bagaimanapun, Dato’ Ab Ghani mengumumkan Telekom Malaysia (TM) terus kekal komited untuk menjadi penaja utama Liga Malaysia pada musim depan melalui perjumpaan beliau dan Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dengan wakil pengurusan tertinggi TM pada 21 September lalu.

Tambah Dato’ Ab Ghani, F&N 100Plus juga meneruskan komitmen sebagai penaja Liga Malaysia berbentuk barangan biarpun tidak meneruskan tajaan secara tunai seperti musim lalu.
Sementara itu, Dato’ Ab Ghani memberitahu status Shopee selaku penaja masih berada di dalam peringkat rundingan berdasarkan kehadiran penonton di stadium pada musim 2021.

“TM masih bersama dengan MFL dan buat masa ini kami sedang mengadakan perbincangan berkenaan ‘post mortem’ Liga Malaysia musim 2020 dan persiapan Liga Malaysia bagi musim 2021.

“Saya berharap semua pihak khususnya penyokong-penyokong tidak panik di sebalik ketiadaan penaja-penaja ini di mana MFL tetap akan meneruskan Liga Malaysia seperti biasa di mana MFL kini juga sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak yang menyatakan minat untuk menjadi penaja baharu.

“Dalam masa yang sama, MFL turut mengalu-alukan kedatangan penaja-penaja baharu dan pintu MFL sentiasa terbuka kepada mereka yang berminat bagi perancangan Liga Malaysia musim 2021 dan tahun-tahun akan datang.

“Saya mewakili MFL juga sentiasa mendoakan kepada setiap rakan kongsi dan kelab yang bermain dalam Liga Malaysia musim 2021 akan cekal teruskan perjuangan walaupun terpaksa mengharungi cabaran yang getir demi memajukan liga tempatan,” katanya.

Kredit featured image: Malaysian Football League (MFL)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN