Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang mengakui pihaknya sudah melakukan perbincangan bersama bekas ketua pasukan import Terengganu FC (TFC), Lee Tuck dalam usaha untuk membawa pemain kelahiran England itu ke Stadium Darul Makmur pada musim 2021.
Selain Lee Tuck, skuad yang lebih dikenali dengan gelaran Tok Gajah itu turut telah melakukan rundingan bersama bekas Melaka United, Selangor United dan Pulau Pinang, Sergio Fabian Ezequiel Aguero.
Perkembangan terbaharu itu dijelaskan oleh Mohammed Suffian menurut sumber Harian Metro yang mengakui perbincangan bersama kedua-dua pemain tersebut sudah diadakan pada minggu lalu.
Menamatkan kempen CIMB Liga Super Malaysia 2020 di tempat kelapan, Pahang membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak empat pemain import mereka iaitu Dickson Nwakaeme, Ivan Carlos, Khalil Khamis dan Adam Reed. Hanya Herold Goulon sahaja dikekalkan bagi menyaksikan beliau akan bersama Pahang buat musim ketiga.
Sehubungan dengan itu, khidmat Lee Tuck dan Sergio Aguero begitu ditagih Pahang dalam usaha mengisi kekosongan ditinggalkan pemain-pemain tersebut.
“Ya, memang betul Aguero dan Tuck mengadakan pertemuan bersama PBNP. Setakat ini, saya boleh sahkan bahawa mereka hampir pasti menyarung jersi Pahang.”
“Bagaimanapun, keputusan muktamad berhubung kontrak akan diumumkan dalam masa terdekat,” ujar Mohammed Suffian.
Lee Tuck yang menjadi sandaran utama Nafuzi Zain pada musim 2020 sehingga membantu kelab tersebut menduduki tangga ketiga saingan liga sekali gus berjaya melayakkan diri ke kempen Piala AFC musim hadapan, tidak berada dalam perancangan TFC meskipun beliau dikatakan berminat untuk terus kekal bersama pasukan.
Masih berpeluang untuk menjadi pemain naturalisasi negara boleh dikatakan menjadi penyebab utama mengapa pemain berusia 32 tahun itu tidak mahu meninggalkan Malaysia dan Pahang dilihat semakin hampir untuk menjadi destinasi terbaharu buat beliau selepas Terengganu dan Negeri Sembilan.
Kredit featured image: Pahang FA
Baca artikel lain dari kami mengenai Lee Tuck:
MSL 2020: Gol Minit Akhir Lee Tuck Bantu Terengganu Tumbangkan Pahang
‘Are You Retiring Lee?’ Antara Reaksi Selepas Lee Tuck Ucap Selamat Tinggal Terengganu