Kelab Liga Kejuaraan, Derby County membuat pengumuman Phillip Cocu tidak lagi menjadi pengurus kelab tersebut ekoran prestasi buruk kelab tersebut sejak permulaan musim ini.
Bekas pemain antarbangsa Belanda itu mengambil alih pasukan pada awal musim lepas selepas pemergian Frank Lampard dan membawa kelab tersebut menamatkan saingan liga divisyen kedua England itu di tangga ke-10.
Bagaimanapun selepas 11 perlawanan berlangsung sejak awal musim ini, kelab tersebut hanya menang sekali sahaja dan terperosok di dasar liga dengan hanya mengumpul enam mata.
Dua pembantunya, Chris van der Weerden dan Twan Scheepers juga telah ditamatkan kontrak dengan persetujuan bersama dan telah meninggalkan Pride Park dengan serta merta.
Phillip, Chris and Twan.
Derby County would like to thank you for your hard work and dedication over the last 16 months.
We wish you every success for the future 🖤#DCFC pic.twitter.com/AsywwYpi5C
— Derby County (@dcfcofficial) November 14, 2020
Sekalipun masih belum menamakan pengurus sementara, kapten kelab Wayne Rooney mengatakan beliau sedia mengambil tanggungjawab mengetuai barisan kejurulatihan untuk perlawanan seterusnya berdepan Bristol City pada minggu depan.
“Saya simpati dengan Phillip dan pembantunya yang telah meninggalkan kelab ini, jadi saya secara peribadi mahu mengucapkan terima kasih di atas segala bantuan dan bimbingannya,” ujar Rooney.
“Apa yang lebih penting kini adalah untuk menstabilkan kelab dan perlu mula naik ke kedudukan yang lebih baik dalam carta liga.
“Saya telah pun diminta untuk menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan untuk membantu persiapan pasukan bagi perlawanan pada Sabtu depan menentang Bristol City. Jurulatih lain dan saya akan bercakap dengan pemain pada Isnin ini.”
We've got an extended sports show this evening taking all your reaction up until 7PM to the Phillip Cocu news.
Wayne Rooney, Shay Given, Liam Rosenior and Justin Walker will be interim coaches.
0800 145 6161 to get your voice heard! #DCFC🐏 #dcfcfans pic.twitter.com/99BPqaG8Gt
— BBC Sport Derby (@BBCDerbySport) November 14, 2020
Derby County dalam kenyataan rasmi mereka melahirkan penghargaan kepada Cocu yang membantu membentuk beberapa pemain muda daripada akademi untuk dinaikkan ke skuad utama dan turut membantu kelab dalam banyak projek komuniti.
Cocu pula yang mencoret ucapannya dalam Instagram mengatakan beliau berbangga dengan kerja dan pencapaiannya di kelab tersebut walaupun dalam tempoh yang agak singkat.
“Walaupun musim ini tidak berjalan seperti yang diharapkan, saya percaya projek yang saya telah mulakan akan memberi hasil yang baik pada masa hadapan,” ujar jurulatih berusia 50 tahun itu.
Derby kini dilaporkan semakin hampir untuk diambil alih oleh sebuah konsortium yang berpangkalan di Abu Dhabi iaitu Derventio Holdings (UK) Limited yang dimiliki oleh Sheikh Khaled bin Saquer Zayed al Nayhan, iaitu sepupu kepada pemilik Manchester City, Sheikh Mansour.
Difahamkan pelantikan pengurus baharu hanya akan dibuat selepas pengambil alihan selesai.
Baca juga artikel kami yang lain mengenai Wayne Rooney:
Wayne Rooney Beri Sokongan Moral Atas Pemilihan Kalvin Phillips