Aksi cemerlang di babak pertama membantu Kedah mara ke suku akhir TM Piala Malaysia 2020 apabila menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Darul Aman.
Tiga gol di babak pertama oleh Shakir Hamzah, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche sudah cukup untuk membawa Kedah ke suku akhir walaupun Pahang dilihat cuba bangkit di babak kedua menerusi Muslim Ahmad dan Faizal Rani.
Akhirnya setelah agak lama, Stadium Darul Aman telah kembali digunakan semula. Sepanjang baki saingan Liga Super tempohari, Kedah telah beraksi di luar Alor Setar akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan oleh kerajaan di seluruh Alor Setar akibat peningkatan penularan pandemik COVID-19.
Walaupun Pahang dilihat menguasai perlawanan dengan beberapa kali berjaya mengatur asakan namun mereka gagal mendapatkan kombinasi yang baik di kawasan final third. Ini yang telah membantu Kedah mendapatkan sedikit keyakinan dan kesilapan benteng pelawat hampir memberikan mereka jaringan seawal minit ke-7.
Senarai kesebelasan utama @official_kfa bertemu @officialpahang dalam saingan #TMPialaMalaysia2020 pic.twitter.com/pAsXZCJUc6
— VOCKET FC (@vocketfc) November 6, 2020
Herold Goulon telah memberikan bola kepada Amin Nazari dan disambar oleh Kpah Sherman untuk seterusnya menolak kepada Kipre Tchetche. Berjaya melepasi kawalan Herold Goulon, Kipre Tchetche gagal menterjemahkan peluang tersebut untuk meledak jaringan pertama perlawanan apabila percubaannya diselamatkan Helmi Eliza.
Tok Gajah akhirnya berjaya membuat percubaan pertama mereka selepas 15 minit aksi berlangsung menerusi percubaan lemah Adam Reed yang diselamatkan oleh penjaga gawang tuan rumah, Azri Ghani. Ini merupakan penampilan ke-4 beliau bersama Helang Merah selepas telah mengetepikan Shahril Sa’ari dan Ifwat Akmal.
Minit ke-17, sepakan penjuru kapten, Baddrol Bakhtiar telah menemui kepala Shakir Hamzah untuk jaringan pertama perlawanan untuk Kedah mendahului aksi. Ia adalah jaringan keduanya – juga menggunakan kepala, untuk saingan Liga M musim 2020.
17' | GOL SHAKIR! @official_kfa kini mendahului @officialpahang menerusi jaringan Shakir Hamzah. #TMPialaMalaysia2020#KEDPHG#MFLLive pic.twitter.com/pABRIjQcgA
— MFL LIVE (@MFL_Live) November 6, 2020
Minit ke-23 dan ke-25, Pahang cuba bangkit untuk menggugat gawang tuan rumah namun kecemerlangan benteng dan penjaga gol Kedah berjaya menafikan peluang yang dicipta dan dilakukan oleh Ivan Carlos dan juga Dickson Nwakaeme.
Kpah Sherman membuktikan ketajamannya apabila menyempurnakan hantaran lintang Kipre Tchetche daripada sebelah kiri gawang pelawat untuk Kedah menghasilkan gol kedua pada minit ke-36 menerusi tandukkan. Seminit sebelum itu, Helmi Eliza berjaya menafikan sepakan percuma oleh Baddrol Bakhtiar.
Helmi Eliza terus dibolosi dan kali ini giliran Kipre Tchetche pula meledakkan jaringan menakjubkan daripada sudut sukar di minit ke-44. Hantaran lintang Faizat Ghazli daripada sebelah kiri gawang menemuinya di sebelah kanan gawang yang tidak dikawal dan seterusnya melepaskan satu rembatan padu untuk gol ke-3 Kedah.
44' | GOL KIPRE!@official_kfa menambah jaringan ketiga menerusi Tchetche Kipre. #TMPialaMalaysia2020#KEDPHG#MFLLive pic.twitter.com/DUmlhBP79r
— MFL LIVE (@MFL_Live) November 6, 2020
Di babak kedua, Tok Gajah mendapat tonik terbaik untuk bangkit apabila pertahanan, Muslim Ahmad memanfaatkan peluang menerusi sepakan percuma Nor Azam Azih dengan tandukan kemas untuk Azri Ghani tertewas pada minit ke-49.
Pahang sebenarnya tiada masalah di jentera tengah dengan penguasaan padang yang baik dipamerkan mereka sejak daripada awal permainan. Masalah utama mereka adalah kombinasi di jentera serangan yang sedikit longgar. Setiap gerakan yang cuba dicatur oleh mereka akan akhirnya berjaya dimatikan oleh benteng tuan rumah.
Minit ke-64, sepakan percuma yang diambil oleh Herold Goulon berjaya ditepis oleh Azri Ghani dan kemudian sepakan penjuru yang diambil oleh Nor Azam Azih berjaya dihalangnya awal serta ditangkap kemas olehnya untuk Kedah sedikit lega.
Kedah kembali mendapat rentak selepas Pahang cuba mengancam mereka, dua kali Kipre Tchetche hadir ke gawang pelawat namun Helmi Eliza cemerlang menafikan peluangnya untuk menambah koleksi jaringannya di Darul Aman pada malam ini.
49' | GOL MUSLIM AHMAD! @official_kfa 3-1 @officialpahang #TMPialaMalaysia2020#KEDPHG#MFLLive pic.twitter.com/x7ajjTDAZj
— MFL LIVE (@MFL_Live) November 6, 2020
Kapten Pahang, Dickson Nwakaeme melepaskan peluang terbaik untuk mendekatkan jurang jaringan pada minit ke-79 apabila sepakan penaltinya singgah ke palang walaupun Azri Ghani telah gagal untuk menepis rembatannya.
Dua minit menuju ke wisel penamat, selepas Kedah terpaksa membuat beberapa pertukaran pemain akibat kecederaan antaranya Baddrol Bakhtiar dan pertahanan kental, Renan Alves, Pahang berjaya mendapat jaringan kedua mereka menerusi ledakan pemain gantian, Faizal Rani yang telah masuk menggantikan Faisal Halim.
Tiada jaringan tambahan daripada kedua-dua pasukan menyaksikan kedah mara ke suku akhir tahun kedua berturut-turut di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak selepas gagal melakukannya pada musim 2018 – tersingkir di peringkat kumpulan.
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA