EPL 2020/21: Aston Villa Mengamuk Bikin Liverpool Terkedu

Aston Villa

Aston Villa mencipta kejutan besar pada perlawanan keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 apabila berjaya mengejutkan juara bertahan, Liverpool 7-2 pada aksi yang berlangsung di Villa Park, sebentar tadi.

Mendominasi sebahagian besar aksi pada separuh masa pertama jelas masih tidak cukup untuk mengelakkan skuad bimbingan Jurgen Klopp itu daripada dibolosi empat gol dan Ollie Watkins menjadi duri dalam daging buat The Reds.

Ia berikutan keupayaan penyerang berusia 24 tahun itu meledakkan hatrik ketika perlawanan baharu sahaja memasuki minit ke-39.

Watkins hanya memerlukan empat minit sahaja untuk membuka tirai jaringan susulan kesilapan penjaga gol Liverpool, Adrian ketika cuba untuk melakukan hantaran kepada Joe Gomez dalam kawasan sendiri.

Hantaran kurang baik itu terus dapat kepada Jack Grealish yang kemudiannya membolehkan Watkins menolak masuk bola dengan tenang untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Liverpool cuba untuk bangkit dengan beberapa percubaan berbahaya terutamanya peluang yang dimiliki Roberto Firmino pada minit ke-15 tetapi penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez lebih bersedia menafikan percubaan tersebut.

Kombinasi baik bersama Grealish sekali lagi melonjakkan kegembiraan buat kem Aston Villa apabila lorongan daripada ketua pasukan tersebut memberikan ruang kepada Watkins yang melakukan gerakan solo dan kemudiannya melepaskan rembatan dalam kawasan penalti untuk melebarkan kedudukan pada minit ke-22.

Berselang 11 minit kemudian, Mohamed Salah berjaya merapatkan apabila beliau yang tidak dikawal pertahanan meledakkan rembatan kaki kiri padu bagi menewaskan Martinez. Diogo Jota hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-26 tetapi percubaan lambung dari jarak jauhnya ditepis keluar Martinez.

Villa yang mengekalkan rekod kemenangan bersih selepas mengharungi tiga perlawanan musim ini kembali memperkemaskan aksi mereka dan menambah jaringan ketiga menerusi John McGinn pada minit ke-35.

Jaringan itu terhasil berpunca daripada rembatan padu dari luar kawasan penalti oleh McGinn yang kemudiannya membias terkena kaki pertahanan Liverpool lalu menerjah gawang.

Hanya selepas empat minit kemudian, kedudukan terus berubah apabila Watkins menanduk masuk bola dengan mudah hasil hantaran lintang daripada Trezeguet sekali gus melengkapkan hatriknya pada perlawanan ini.

Pemain yang baharu sahaja dipinjamkan daripada Chelsea, Ross Barkley menambah kedukaan buat Liverpool setelah rembatan kaki kirinya terkena Fabinho hingga membuatkan Adrian terkapai-kapai gagal menafikan percubaan tersebut bagi menjadikan kedudukan 5-1.

Ketika Aston Villa semakin bersemangat untuk mencipta jaringan, Mohamed Salah berupaya mendapatkan jaringan kedua selepas menerima lorongan daripada Firmino pada minit ke-60.

Ketika kelebihan tiga gol dilihat sudah cukup buat skuad bimbingan Dean Smith itu, anak buahnya tetap masih bernafsu untuk melakukan ancaman ke kubu Liverpool dan mereka berjaya menambah lagi dua jaringan menerusi Grealish bagi melengkapkan kemenangan besar 7-2 itu.

Kejutan di Villa Park itu menyaksikan Aston Villa yang kekurangan satu perlawanan kini menghuni tangga kedua dengan sembilan mata, hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu liga, Everton. Liverpool yang turut mengumpul sembilan mata berada di kedudukan kelima.

Kredit featured image: Marc Atkins/Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN