Aksi lebih mencabar menanti pasukan Kuala Lumpur dalam dua perlawanan seterusnya tatkala mereka ketika ini menghuni tangga kedua saingan Liga Premier 2020 tanpa sebarang kekalahan selepas mengharungi 6 perlawanan.
Skuad kendalian Nidzam Adzha Yusof terus memberi tekanan kepada pendahulu liga Pulau Pinang selepas menang 2-0 ke atas Kelantan United,Jumaat lalu. Mereka kini berkongsi 14 mata dengan Pulau Pinang namun dibezakan dengan jumlah jaringan.
Walau bagaimanapun, bekas pengendali Kedah itu menjangkakan kedudukan mereka itu tidak akan bertahan lama sekiranya barisan pemain tidak meneruskan usaha keras bagi menghadapi dua perlawanan akan datang apabila bakal berdepan Terengganu FC II (TFC II) pada Jumaat ini dan Pulau Pinang pada Sabtu depan.
Ini kerana kedua-dua pasukan lawan tersebut dalam momentum terbaik untuk mencalar rekod bersih tanpa kalah Kuala Lumpur terutaman TFC II yang hanya dibezakan dua mata sahaja untuk kini berada di tangga ketiga liga.
“Kemenangan 2-0 ke atas Kelantan United ini merupakan keputusan memuaskan untuk kami dan ini kali pertama kami tidak dibolosi sebarang gol selepas 6 perlawanan berlangsung.
“Memandangkan Kuala Lumpur belum lagi tewas, dua perlawanan akan datang selepas ini pastinya akan sangat getir untuk kami kerana akan menentang TFC II dan Pulau Pinang.
“Kedudukan TFC II tidak jauh dengan pasukan kami, jadi mereka pasti akan melawan habis-habisan, dan selepas itu Pulau Pinang juga masih kekal dengan kemenangan berterusan, dan dua perlawanan ini pasti tidak mudah untuk kami.
“Tetapi Alhamdulillah setakat ini secara keseluruhan pasukan berada di landasan yang betul dalam harungi musim 2020 dan diharapkan barisan pemain dapat mengekalkan momentum yang ada selepas ini,” jelasnya.
Kredit featured image: Kuala Lumpur Hawks
Baca artikel lain dari kami mengenai saingan Liga Premier Malaysia 2020: