Dua pemain yang disisihkan atas masalah sikap mereka sama ada dalam atau luar padang oleh pengendali, Mikel Arteta adalah Mesut Ozil dan Matteo Guendouzi.
Dan baru-baru ini, Arteta seakan-akan memberi bayangan dan mengesahkan mereka berdua akan diberi peluang kedua. Mungkin itu yang sangat diharapkan oleh mana-mana pemain yang tersisih daripada skuad utama Arsenal sebelum ini.
Peluang kedua untuk pikat Arteta
Ozil dikatakan disisih oleh Arsenal dan Arteta akibat sikap malasnya untuk membantu pertahanan. Dalam sistem yang dimainkan oleh The Gunners ketika ini, semua pemain termasuk pemain tengah perlu bekerja keras dan intensif.
Sementara Guendouzi pula pada mulanya merupakan antara pemain utama ketika Restart sekitar Jun lalu, namun akibat pergeserannya bersama pemain Brighton, Neal Maupay ketika Arsenal kecundang 1-2, beliau mula tersisih.
Begitupun, Arteta baru-baru ini mengatakan yang ketika ini, semua pemain yang berada di kem Arsenal ada peluang sama rata untuk memikatnya kembali menjelang kembalinya saingan Premier League pada hujung minggu ini.
Tonjolkan melalui aksi dan sikap yang betul
“Saya sentiasa menjelaskan yang setiap pemain akan bermula daripada kosong, setiap masa dalam bola sepak. Apa yang dilakukannya dua minggu lalu atau dua tahun lalu tidak lagi penting,” ujar Arteta sebelum menentang Liverpool.
“Ia bagaimana anda mahu membantu pasukan ketika ini. Setiap pemain memiliki peluang yang sama,” jelas pengendali asal Sepanyol itu lagi kepada pihak media.
Seperkara lagi yang mungkin beliau tujukan kepada mereka berdua adalah, “Mereka perlu tonjolkan dalam aksi dan juga sikap adalah mereka lebih bagus daripada rakan-rakan lain dan mahu menyumbang kepada sasaran kita musim ini.”
Namun, Arteta juga nampaknya masih mahu memperkukuhkan lagi skuad sedia ada apabila berkata yang untuk merealisasikan sasaran mereka musim ini, ia bergantung kepada bagaimana wajah Arsenal ketika jendela perpindahan ditutup.
Penutup
Sebelum pertembungan dengan Liverpool juga, Arteta menegaskan kepentingan kemenangan ke atas lawannya itu pada permulaan musim yang baharu. Ia platform untuk melihat kemampuan mereka bersaing dengan kelab ternama.
Jadi, adakah Ozil dan Guendouzi melihat ini sebagai peluang kedua buat mereka membaiki hubungan dengan Arteta? Mereka harus curi semula perhatiannya agar dapat kembali menjadi antara pemain utama Arsenal saban minggu.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES