1. Peningkatan Secara Taktikal
Walaupun pemain muda Malaysia gagal menjaringkan gol dalam perlawanan pertama. Namun secara taktikal, perlawanan pertama adalah lebih baik.
Anda boleh baca analisis perlawanan perlawanan Malaysia B-22 v Bahrain B-22 yang kami terbitkan beberapa hari lepas.
Terdapat corak gerakan yang jelas untuk mempelbagaikan formasi dalam 3 disiplin yang utama:
- ketika bertahan
- ketika mengimbangi perlawanan
- ketika menyerang
Bernhardt cuba menyuntik bola sepak yang progresif atau berkembang. Pemain bertahan dan menyerang secara unit.
Dalam perlawanan kedua permainan lebih banyak tertumpu kepada kemampuan untuk bermain dalam permukaan padang yang sukar.
Banyak hantaran-hantaran tinggi yang mungkin terpaksa dilakukan oleh para pemain. Namun dalam perlawanan kedua pemain lebih yakin untuk mencipta peluang di final third.
2. Aspek Teknikal Pemain Masih Lemah
Masih ada isu kelemahan asas bola sepak seperti mengawal bola, melakukan hantaran dan melakukan rembatan. Dalam 2 perlawanan, pemain pemain Malaysia kerap hilang bola dan banyak hantaran-hantaran lemah.
Pemain ada keinginan untuk melakukan sesuatu tetapi kerap terhalang untuk melakukan hantaran akhir dan produk akhir yang lebih baik.
Ia adalah kerja rumah tambahan untuk para pemain itu sendiri supaya aspek ini tidak terlalu ketara. 70% daripada tugas di dalam perlawanan sebenar adalah di tangan pemain bukannya jurulatih.
3. Serangan Yang Tumpul
Secara adilnya, dari segi kreativiti – pasukan B-22 kita jelas menunjukkan peningkatan. Dalam 2 perlawanan ini, mereka berjaya mencipta banyak peluang.
Namun masalah yang kritikal adalah ketumpulan di hadapan gol. Dalam perlawanan pertama Malaysia memiliki sekurang-kurangnya 3 peluang keemasan untuk menjaringkan gol dan beberapa lagi peluang yang lain.
Pada perlawanan kedua, isu ini terus menghantui skuad muda kebangsaan. Mujurlah Kumaaharan berjaya meyudahkan hantaran lintang.
4. Disiplin Pemain
Disiplin bukan sahaja merujuk kepada aspek semangat kesukanan di dalam padang. Namun ia merangkumi aspek disiplin dalam taktikal.
Dari sudut semangat kesukanan masih ada pemain yang hilang fokus dalam padang dan mencetuskan insiden. Dari sudut lebih taktikal, pemain kerap hilang disiplin secara individu ataupun dalam organisasi pasukan.
Gol kemenangan Bahrain adalah berpunca daripada bentesan lemah selepas pertahanan hilang fokus.
5. Isu Distribution
Pemain-pemain muda kita masih perlu bekerja keras dalam isu hantaran akhir terutama sekali hantaran lintang. Terlalu banyak hantaran lintang berkualiti rendah walaupun mereka berterusan berjaya melakukannya dari arah sayap.
Seterusnya adalah tempo dan kesegeraan dalam melakukan hantaran. Pemain harus meningkatkan lagi isu tempo hantaran.
Pemain-pemain tidak konsisten dalam tempo hantaran. Kadangkala mereka melakukannya dengan tempo yang baik. Kadangkala pula mereka terlalu banyak melakukan sentuhan ke atas bola sebelum melepaskan hantaran.
Kesimpulan
Frank Bernhardt boleh dianggap orang yang tepat untuk mengemudi skuad muda Malaysia B-22. Beliau sudah menunjukkan beliau ada falsafah bola sepak yang bagus.
Namun perlaksanaan di dalam padang pula tidak optimum kerana kelemahan-kelemahan teknikal oleh para pemain yang masih lemah dan agak gugup.
Tidak dapat dinafikan ada perubahan positif dalam perlawanan persahabatan kali ini. Pemain-pemain muda kita lebih kompetitif dan tidak dibuli dengan terlalu mudah.
Namun, jika kualiti teknikal pemain berada pada tahap yang lebih baik, kami yakin pasukan B-22 negara kita boleh menang kedua-dua perlawanan kali ini.
Baca juga : 5 Perkara Yang Kita Belajar Selepas Melihat Malaysia Seri 0-0 vs Myanmar