Tonggak Manchester United, Bruno Fernandes mendedahkan bahawa rakan senegaranya, Cristiano Ronaldo seringkali bertanyakan tentang perkembangan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu setiap kali mereka berbual.
Ia menunjukkan bahawa meskipun sudah 11 tahun beliau meninggalkan Old Trafford, Ronaldo masih lagi mengambil berat terhadap pasukan yang bertanggungjawab dalam menjadikannya sebagai salah seorang pemain terbaik dunia.
Sepanjang menyarung jersi Manchester United selama enam musim, Ronaldo telah menjulang beberapa trofi utama termasuklah Liga Juara-Juara Eropah 2007/08, kejuaraan hatrik EPL [2006/07, 2007/08 dan 2008/09] serta memenangi Piala FA 2003/4.
Kejayaan yang tidak datang bergolek kerana seperti diketahui Ronaldo sememangnya merupakan seorang pemain yang cukup bekerja keras dari awal kariernya sehingga ke hari ini walaupun kini beliau sudah bergelar legenda bola sepak dunia.
”Merupakan impian saya untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Saya mempunyai pilihan untuk datang ke Manchester United dan ia merupakan dua impian dalam satu. Sangat lengkap,” ujar Fernandes menurut laporan Goal.
”Sudah tentu, saya bercakap dengan Cristiano selepas itu dan dia bercakap perkara yang baik mengenai kelab ini. Sekali lagi, saya bercakap dengannya beberapa hari yang lalu.”
”Setiap kali saya bercakap dengannya, dia akan bertanyakan kepada saya bagaimana keadaan Manchester dan adakah semuanya baik-baik sahaja.”
”Semua orang mengetahui bahawa dia menghabiskan banyak masa di Manchester. Dia menyukai kelab ini, saya rasa dia memenangi anugerah Ballon d’Or yang pertama di sana [Manchester United], jadi sudah tentu kelab ini memberikan makna buatnya,” tambah Fernandes lagi.
Kredit featured image: Erwin Spek/Soccrates/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Cristiano Ronaldo: