Paris Saint-Germain (PSG) menepati ramalan mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019/20 apabila berjaya menundukkan wakil Jerman, RB Leipzig 3-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Estadio da Luz, Benfica sebentar tadi.
Kejayaan itu pastinya memberikan makna yang cukup besar buat PSG berikutan ia merupakan kali pertama PSG melayakkan diri ke perlawanan akhir saingan paling berprestij di Eropah tersebut.
Tidak keterlaluan untuk memperkatakan bahawa pemain kelahiran Argentina, Angel Di Maria nyata menjadi tunjang kepada kemenangan PSG apabila beliau berjaya menjaringkan satu gol serta turut menghasilkan dua bantuan jaringan.
PSG hanya memerlukan 13 minit sahaja untuk membuka tirai jaringan setelah Marquinhos yang berjaya melepasi kawalan pertahanan RB Leipzig dalam kawasan penalti, dengan selesa menanduk masuk bola hasil situasi sepakan percuma diambil Di Maria.
Aksi separuh masa pertama juga turut memperlihatkan dominasi daripada skuad bimbingan Thomas Tuchel itu dengan penguasaan bola sebanyak 70 peratus dipegang skuad berpengkalan di Paris itu.
Ia juga turut memberikan peluang buat Di Maria untuk menambah jaringan kedua. Jaringan tersebut terhasil berpunca daripada kesilapan penjaga gol, Peter Gulacsi yang gagal melakukan hantaran kepada rakan sepasukannya di kawasan sendiri dengan baik.
Serangan pantas dilakukan jentera serangan PSG membolehkan Neymar melakukan umpanan kepada Di Maria yang tidak melepaskan peluang terbaik itu untuk melebarkan kedudukan pada minit ke-42.
Memasuki babak kedua, anak buah Julian Nagelsmann cuba untuk memberikan tentangan untuk kembali bangkit terutamanya sebaik sahaja aksi 45 minit kedua dimulakan pengadil perlawanan dari Belanda, Bjorn Kuipers.
Usaha keras mereka untuk merapatkan defisit jaringan masih tidak berhasil tetapi sebaliknya PSG pula berjaya mengukuhkan kedudukan hasil jaringan ketiga yang dihasilkan Juan Bernat pada minit ke-56.
Hasil hantaran yang cukup baik dilakukan Di Maria dari sebelah kanan pintu gol RB Leipzig, Bernat dengan tenang menanduk masuk bola untuk menjadikan kedudukan 3-0 sekaligus semakin mendekatkan PSG dengan perlawanan akhir.
Dua ‘assist’ yang dihasilkan pada perlawanan ini juga menyaksikan Di Maria mengumpul 27 bantuan jaringan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah sejak musim 2003/04. Ini bermakna beliau menjadi pemain ketiga terbanyak di belakang Cristiano Ronaldo [38 bantuan] dan Lionel Messi dengan 33 bantuan jaringan.
Tidak mahu gawangnya terus dibolosi, Gulacsi tampil dengan lebih meyakinkan apabila cemerlang menepis empat percubaan padu diledakkan jentera serangan PSG pada 20 minit terakhir.
Usaha Leipzig untuk mendapatkan jaringan saguhati juga digagalkan ketangkasan penjaga gol, Sergio Rico dan kekentalan barisan pertahanan yang diketuai pemain berpengalaman, Thiago Silva.
Keputusan 3-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk PSG menanti pemenang di antara Bayern Munich dan Lyon yang bakal beraksi pada awal pagi esok di Estadio Jose Alvalade.
Kredit featured image: Paris Saint-Germain Inside