Pertahanan kental yang juga merupakan ketua pasukan Anderlecht, Vincent Kompany telah mengumumkan persaraannya dari kancah bola sepak profesional dan bakal menjawat tugasan sebagai pengurus kelab Liga Belgium tersebut dengan kontrak selama empat musim.
Kompany yang kini berusia 34 tahun pernah bertindak selaku pengurus merangkap pemain sebaik sahaja beliau meninggalkan Manchester City untuk kembali ke Anderlecht pada musim 2019/20.
Beliau bagaimanapun meletakkan jawatan sebagai pengurus hanya selepas empat perlawanan berikutan aksi buruk Anderlecht yang tidak berjaya mencatatkan sebarang kemenangan dalam empat perlawanan
Keadaan itu menyebabkan Kompany melepaskan tanggungjawab tersebut dan mahu memberikan tumpuan penuh sebagai pemain.
Meskipun kontraknya sebagai pemain masih berbaki sehingga 2022, pemain yang pernah memenangi dua gelaran juara Belgian Pro League bersama Anderlecht itu merasakan sudah tiba masanya buat beliau untuk mengumumkan persaraan sebagai pemain.
Ini bermakna beliau akan menggantikan pengendali terdahulu, Frank Vercauteren yang sudah mengemudi kelab tersebut pada dua perlawanan awal kempen 2020/21.
”Saya mahu komited dalam peranan saya sebagai jurulatih dan memerlukan 100 peratus masa saya untuk fokus terhadap perkara ini.”
”Itulah sebabnya mengapa saya berhenti sebagai pemain bola sepak,” ujar Kompany menurut laman sesawang rasmi Anderlecht.
”Cita-cita saya dan ‘kelaparan’ kami tetap sama. Saya mahu kekal bersama kelab ini sekurang-kurangnya empat musim dan membuktikan Anderlecht mampu bermain bola sepak gaya moden, dengan mendatangkan hasilnya.”
”Saya ingin mengucapkan terima kasih buat Franky [Frank Vercauteren] untuk segala bantuan yang diberikan.”
Kredit featured image: Vincent Van Doornick/Isosport/MB Media/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Vincent Kompany: