Pengurus Al-Sadd yang merupakan legenda Barcelona, Xavi Hernandez mendedahkan barisan impian untuk menjadi pembantunya sekiranya beliau menggalas tanggungjawab sebagai pengendali The Blaugrana pada satu hari nanti.
Khidmat Xavi pernah ditagih kelab gergasi Sepanyol itu ketika pengurus terdahulu, Ernesto Valverde dipecat pada pertengahan bulan Januari lalu meskipun pada ketika itu Barcelona memimpin carta La Liga.
Bagaimanapun, Xavi menolak tawaran yang diberikan kerana berasakan dirinya masih belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab berat tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk membimbing kelab yang diwakilinya bermula musim 1997/98 sehingga 2014/15 sebelum memilih haluan baharu dengan berkelana ke Al-Sadd.
Sehubungan dengan itu, Xavi telah menyenaraikan bekas rakan sepasukannya, Charles Puyol sebagai salah seorang pembantunya sekiranya beliau dilantik sebagai pengurus Barcelona.
”Saya gembira dapat terus menimba pengalaman melatih dan mencabar diri saya sendiri, tetapi sudah tentu merupakan sesuatu yang istimewa sekiranya saya dapat melatih Barca, satu hari nanti.”
”Saya mahukan barisan impian, dengan Jordi Cruyff, Carles Puyol dan beberapa pemain yang masih beraksi pada ketika ini.”
”Saya ingin membina pasukan [kejurulatihan] dengan orang penting yang mengetahui tentang kelab ini, orang yang saya percaya dan akan setia bersama saya,” ujar Xavi menurut laporan Sport Bible.
Xavi dan Puyol beraksi bersama-sama selama 15 tahun dan berjaya menjulang tiga trofi Liga Juara-Juara Eropah dan menjuarai saingan La Liga sebanyak enam kali.
Sementara itu, Jordi Cruyff pula merupakan anak kepada mendiang Johan Cruyyf yang mana beliau pernah beraksi bersama Barcelona selama dua musim.
Kredit featured image: Shaun Botterill – FIFA/FIFA via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Xavi: