Pengurus Inter Milan, Antonio Conte dengan nada kecewa mengakui tiada apa yang istimewa sekiranya I Nerazzuri menamatkan saingan Serie A musim ini di tangga kedua.
Inter Milan terlepas peluang untuk terus memberikan tekanan buat pendahulu liga, Juventus apabila sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Fiorentina, awal pagi tadi.
Lebih perit untuk diterima, keputusan di Giuseppe Meazza itu juga menyaksikan kedudukan tempat kedua mereka telah dirampas Atalanta yang berjaya menundukkan Bologna hasil jaringan tunggal Luis Muriel.
Sehubungan dengan itu, Conte beranggapan perebutan tempat kedua tidak langsung memberikan makna buat skuad bimbingannya itu dan menegaskan kedudukan kedua adalah ‘tempat pertama bagi pasukan kalah’.
”Tempat kedua tidak memberikan sebarang makna di mata saya, ia hanya kedudukan pertama bagi pasukan yang kalah,” ujar Conte menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Ada orang berpuas hati dengan pencapaian itu tetapi bagi saya, kedudukan tempat kedua tidak langsung memberi erti.”
Pada perlawanan bertemu Fiorentina, anak-anak buah Conte nyata kecewa dengan kecemerlangan yang ditampilkan penjaga gol mereka, Pietro Terracciano dalam menangkis kira-kira lapan percubaan tepat dimiliki Inter Milan.
”Ia merupakan satu perlawanan yang baik, kami bermain dengan intensiti yang betul. Tetapi tidak bernasib baik apabila dua kali bola sekadar singgah di tiang gol.”
”Fiorentina berhak mendapat kredit kerana mempamerkan corak bertahan yang sangat baik,” tambah Conte lagi.
Juventus yang kekurangan satu perlawanan sedang mendahului Atalanta dengan kelebihan enam mata selepas mengumpul 80 mata dan skuad The Old Lady itu akan melebarkan lagi kelebihan sekiranya berjaya menundukkan Udinese, awal pagi nanti.
Kredit featured image: Gabriele Maltinti/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Antonio Conte: