16 tahun adalah satu tempoh yang lama untuk berada bersama sesebuah kelab dan Andy King telah membuktikan rasa cintanya kepada Leicester City selama itu.
Sejak zaman remajanya, pemain tengah itu bersama The Foxes selepas meninggalkan akademi Chelsea pada usia 15 tahun. Dan kini, selepas melalui empat musim jauh dari King Power secara pinjaman, Andy King akan menamatkan segalanya.
Lagenda The Foxes
Andy King akan menamatkan kisah panjangnya bersama pasukan selepas Leicester mengesahkan tidak lagi menyambung kontraknya apabila musim 2019/20 berakhir.
Kisahnya agak membosankan. Ya, beliau bukanlah pemain yang boleh diangkat sangat hebat buat Leicester tetapi kudratnya bersama kelab tersebut sangat membantu ketika mereka berada di dalam fasa pembangunan Leicester ke era yang ada sekarang.
Beliau merupakan pemain pertama dan juga satu-satunya pemain era baharu Premier League yang telah menjuarai League One, Championship dan Premier League bersama satu pasukan. Semuanya telah dilakukannya dalam tempoh lapan tahun sahaja.
Selain itu, King juga merupakan pemain tengah yang memiliki rekod jaringan terbanyak bersama pasukan dengan 62 gol dalam semua pertandingan di ketiga-tiga divisyen. Dengan rekod itu dan 378 penampilannya, beliau layak dikenang sebagai lagenda.
Musim terbaiknya
Musim terbaiknya adalah ketika di bawah bimbingan Sven Goran Eriksen iaitu pada musim 2010/11, di mana beliau diletakkan di posisi pemain tengah menyerang. Ia mempamerkan sosok permainan terbaiknya ketika menyarung jersi The Foxes.
23 gol dan telah tersenarai dalam PFA Championship Team of the Year bersama-sama pemain seperti Adel Taarabt (QPR), Wes Hoolahan (Norwich City) dan kapten Leicester ketika ini, Wes Morgan (Nottingham Forest) membuktikan kehebatannya saat itu.
Beliau boleh memilih untuk meninggalkan pasukan di saat kelab-kelab Premier League cuba memancingnya apabila Leicester agak lama ‘tersangkut’ di Championship, tetapi pemain yang kini berusia 31 tahun itu telah memilih untuk kekal setia bersama.
Selepas meraih promosi, kudratnya ditagih dalam tiga musim dengan yang terakhir ketika mereka merundum teruk semusim selepas menjuarai Premier League pada 2015/16. Beliau disisihkan pengganti Claudio Ranieri yang ditamatkan kontrak.
‘Kunci kepada segalanya’
Leicester dalam kenyataan mengenai perpisahan tersebut menyatakan, “Berbekalkan konsistensi, dedikasi dan profesionalism sepanjang beliau bersama kelab, Andy King selayakkan berada bersama pemain-pemain terhebat kelab ini, tidak boleh disangkal.”
“Andy King merupakan kunci kepada segalanya,” ungkap kenyataan tersebut sambil menyatakan peranan yang dimainkan King dalam perkembangan pasukan sejak dari menjuarai League One, Premier League sehingga beraksi di Champions League.
Ketika ini, King sedang beraksi secara pinjaman bersama Huddersfield dan akan menyaksikan kontraknya berakhir tanpa dapat kembali ke Leicester buat kali terakhir.
Leicester akan cuba mengadakan sebuah majlis perpisahan kepadanya bagi membolehkannya kembali beraksi di King Power dan untuk para penyokong menunjukkan sokongan kepada pemain paling lama bersama pasukan.
Penutup
The Foxes sedang melalui fasa kekurangan pemain yang menyaksikan mereka kini bergelut untuk mengekalkan kedudukan tiga terbaik di Premier League. Berbaki dua perlawanan, mereka sedang bersaing sengit bersama Chelsea dan Manchester United.
Andy King dalam satu era sangat terbaik di posisi tengah menyerang, di mana, posisi tersebut ketika ini yang menjadi masalah utama apabila James Maddison sedang mengalami kecederaan dan disahkan tersisih sehingga ke penghujung musim.
KREDIT FEATURED IMAGE: LEICESTER CITY