Pemain muda Bayer Leverkusen, Kai Havertz jelas sekali menjadi pilihan ramai kelab dengan pelbagai potensi perpindahan dikaitkan dengan namanya ketika ini.
Memandangkan beliau kini bermain di Jerman, nama Bayern Munich jelas sekali tidak terlepas daripada antara salah satu kemungkinan destinasi pemain itu.
Menurut laman Goal, legenda bola sepak Jerman iaitu Lotthar Matthaus memberikan gambaran jelas yang Havertz pastinya akan berhijrah ke Bayarn Munich pada musim hadapan.
Namun begitu, beliau meletakkan satu syarat.
Matthaus memberi gambaran yang pemain itu hanya akan tiba ke Allianz Arena sekiranya Bayern Munich menyingkirkan beberapa pemain seperti Thiago Alcantara serta David Alaba.
“Jika Thiago Alcantara dan David Alaba tinggalkan kelab, Bayern Munich akan memperoleh yuran perpindahan yang tinggi dan dapat menjimatkan jumlah gaji mereka.”
“Dan pada itu, ianya cukup untuk membolehkan mereka mendapatkan pemain yang berbakat besar.”
Thiago dikaitkan dengan perpindahan keluar dengan beberapa pasukan Premier League dilihat mahu mendapatkan beliau.
Sementara Alaba dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Serie A iaitu Inter Milan, tetapi dilihat pemain itu tidak berminat untuk ke sana.
Sementara bagi Havertz pula, beliau sememangnya sering dikaitkan dengan Bayern Munich sepanjang tempoh musim 2019-2020.
“Jika ada kelab yang lebih besar berbanding Bayer Leverkusen meletakkan harga yang dimahukan, pastinya mereka akan terima tawaran tersebut. Hal ini kerana, jelas sekali pemain itu mahu mengambil langkah seterusnya dalam kariernya.”