Pengurus skuad kebangsaan Itali, Roberto Mancini tanpa berselindung mengakui bahawa penyerang yang sering dipalit dengan cerita kontroversi, Mario Balotelli telah mensia-siakan bakat hebat dimilikinya.
Masalah disiplin yang sering membelenggu dirinya menyebabkan perkara-perkara negatif lebih segar diingatan para peminat jika membicarakan tentang Balotelli.
Yang terbaharu, beliau dilaporkan bakal meninggalkan kelab Serie A, Brescia susulan kegagalannya untuk melaporkan diri dalam sesi latihan pasukan.
Malah, ketika perintah berkurung, Balotelli tidak muncul di ‘Zoom Meeting’ pasukan. Keadaan itu pasti membuatkan pengurus pasukan, Diego Lopez berang dengan sikapnya.
Balotelli bagaimanapun menafikan dakwaan yang mengatakan dirinya tidak menjalani latihan dan mendedahkan hampir setiap hari beliau menikmati dua sesi latihan sehari.
Namun bagi Mancini, beliau melihat Balotelli yang pernah mendapat bimbingannya ketika di peringkat kelab sewaktu membimbing Inter Milan dan Manchester City masih mempunyai masa untuk mengubah kariernya ke arah lebih baik.
”Saya menjaganya [Balotelli], tidak kira dari apa sahaja yang dilakukan olehnya,” ujar Roberto Mancini menurut laporan Goal.
”Saya melatihnya ketika dia masih lagi seorang kanak-kanak, saya memberi peluang buatnya untuk beraksi dan dia begitu luar biasa untuk tempoh yang lama.”
”Harapan saya adalah untuk melihat dia melakukan perubahan terhadap semua ini, dia baharu sahaja berusia 30 tahun dan akan berada di puncak kematangannya dalam bola sepak.”
”Say berharap pada suatu hari dia akan bangkit dan menyedari bahawa dia telah mensia-siakan bakatnya. Mario merupakan seorang yang luar biasa, sangat baik dan sopan.”
”Sudah banyak kali saya telah mengatakan kepadanya bahawa dia telah mensia-siakan bakat yang ada, kerana potensinya sangat luar biasa,” tambah Roberto Mancini lagi.
Sejak karier profesionalnya bermula pada musim 2005/06, Balotelli telah berjaya menjaringkan 151 gol dalam 383 penampilannya di semua pertandingan disertai.