Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menegaskan bahawa pemainnya yang kini dipinjamkan ke Inter Milan, Alexis Sanchez perlu untuk berjuang bagi kembali mendapatkan tempatnya bersama The Red Devils.
Sanchez yang dibeli dari Arsenal pada 22 Januari 2018 dilihat begitu bergelut untuk mempamerkan kecemerlangan seperti ditampilkannya ketika menyarung jersi The Gunners.
Beliau hanya mampu menjaringkan lima gol dalam 45 penampilannya bersama Manchester United dan kemudiannya terpaksa dipinjamkan ke Inter Milan pada musim ini.
Bersama Inter Milan, Sanchez masih lagi tidak mendapatkan peluang seperti diharapkan apabila sekadar beraksi dalam 16 perlawanan di semua pertandingan disertai I Nerazzurri dan hanya berupaya menjaringkan satu gol.
Sehubungan dengan keadaan tersebut, Solskjaer mahu pemain kelahiran Tocopilla, Chile itu meskipun tidak menyebut tentangnya secara terang-terangan, supaya merebut tempat di kesebelasan utama setelah beliau kembali semula bersama pasukan pada musim hadapan.
”Sudah pasti terdapat tempat buat pemain dan individu yang bagus di persekitaran ini.”
”Mari kita lihat di mana kita sampai pada musim ini, kerana kami merasakan skuad ini amat menarik. Kami juga merasakan kami dalam perjalanan untuk menuju sesuatu,” ujar Solskjaer menurut laporan Goal.
”Ia terserah kepada semua pemain ketika mereka berada di sini untuk melakukan yang terbaik, kerana sentiasa terdapat cakap-cakap pemain akan keluar dan masuk, dan ia adalah untuk menyatukan kumpulan ini.
”Kadangkala ketika anda menghias ruang tamu, di sana mungkin akan ada kerusi atau sofa yang bagus tetapi ia mungkin tidak sesuai dengan yang lain.”
”Bagi kami adalah untuk memikirkan tentang gelaran besar, fokus kami untuk menamatkan saingan liga musim ini,” tambah Solskjaer lagi.