Mungkin satu perkara yang menyedihkan bagi Wilfried Zaha ketika di Manchester United adalah apabila dituduh meniduri anak bekas pengurusnya, David Moyes.
Tuduhan liar yang digembar gemburkan selama ini itu menurutnya adalah tidak benar dan sekali lagi beliau tampil menjelaskan perkara tersebut menerusi rancangan The Locker Room yang dikendalikan oleh bekas rakan sepasukannya, Rio Ferdinand.
Ia satu penderitaan buat pemain yang ketika itu baru berusia 20 tahun dan telah dituduh meniduri anak bosnya, David Moyes, malah dikaitkan yang disebabkan itu, beliau jarang mendapat tempat dalam skuad kendalian David Moyes ketika itu.
Alex Ferguson bawa masuk, David Moyes sisihkan
Dilabel sebagai pemain muda meningkat naik, Zaha telah dibawa masuk ke Old Trafford oleh Sir Alex Ferguson dan merupakan pemain terakhir yang ditandatangani olehnya sebelum rasmi meletakkan jawatan pada penghujung musim tersebut.
Menyatakan kepada media ketika itu yang Manchester United adalah tempat untuk membentuk pemain yang hebat, Alex Ferguson yakin yang penyerang muda Crystal Palace itu akan menyukai suasana di sana apabila beliau tiba ke kelab pada Julai.
Walaubagaimanapun, dengan kehadiran David Moyes sebagai pengganti sebelum musim 2013/14 bermula, Zaha lebih banyak menghabiskan masanya dipinjamkan ke Cystal Palace dan Cardiff City sebelum berpindah semula ke Crystal Palace.
Ketika itulah muncul tuduhan liar mengenainya yang ditangkap meniduri anak pengurusnya, Lauren sehingga menyebabkan David Moyes menyisihkannya daripada skuad Manchester United, malah akhirnya dilepaskan kembali ke kelab lama.
Tinggal di ‘neraka’ bersendirian
“Saya terpaksa melalui semua ini pada usia 19 tahun. Tinggal bersendirian di Manchester, tiada yang berdekatan kerana kelab menetapkan tempat tinggal saya. Mereka tidak berikan saya kereta sebagaimana pemain-pemain lain. Tiada,” ujarnya.
“Saya tinggal di ‘neraka’ ini bersendirian, tiada ahli keluarga yang menemani,” tambahnya lagi mengenai situasinya ketika itu kepada ShortList pada 2018.
Apabila timbul khabar angin tersebut, Zaha pantas menafikannya menerusi laman Twitternya dengan kenyataan, “Khabar angin bodoh. Kebudak-budakan.” sebelum kemudian memuat naik status tidak mengenali siapa anak David Moyes itu.
Sebagai pemain yang masih mentah, Zaha menjelaskan yang tiada siapa-siapa membantunya ketika itu, malah David Moyes dilihat turut mendiamkan diri daripada membincangkan isu tersebut bersamanya sehinggalah beliau meninggalkan pasukan.
Tak pernah kenal dan jumpa
“Lucunya, ia berlarutan agak lama sehingga saya pernah terfikir, adakah pengurus akan datang berjumpa saya untuk berbincang mengenai perkara ini,” ujarnya yang turut pernah menyatakan dirinya tidak pernah menyesal menyertai Manchester United.
“Itu yang saya rasakan ketika itu dan saya terfikir, semua ini gila. Sehingga ke hari ini, masih ada yang menganggap khabar angin itu benar walaupun sebenarnya saya tidak pernah berjumpa anaknya,” luah Zaha ketika muncul di dalam rancangan tersebut.
Kes itu seakan-akan membunuh potensinya yang masih muda ketika itu dan kini di usia 27 tahun, Zaha telah lima musim kembali ke Crystal Palace dan membantu kelab itu melangkah ke final Piala FA 2015/16 sebelum tewas kepada Manchester United.
Beliau juga pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal sebelum musim 2019/20 bermula namun, ianya tidak direalisasikan akibat tawaran rendah yang diletakkan oleh The Gunners terhadap pemain tersebut – Arsenal tawarkan £40 juta ketika itu.
Penutup
Adakah benar yang kes tersebut yang membunuh potensi pemain muda yang pernah dilabel sedang meningkat naik ketika itu? Ataupun David Moyes yang gagal untuk melihat dan memberikannya peluang ketika mereka bersama sepanjang lima bulan?
Beliau pernah berkata kepada The Sun yang beliau dibawa masuk oleh Alex Ferguson dan mahukan pengurus tersebut yang membimbing serta membentuknya. “Moyes tidak pernah percayakan bakat saya,” tegasnya dalam kenyataannya tersebut.
KREDIT FEATURED IMAGE: PA