Ketika ini, nama lagenda hidup Kedah, Radhi Mat Din kembali popular untuk kembali bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebagai Setiausaha Kehormat.
Ini berikutan peletakkan jawatan Asmirul Anuar Aris selepas kerajaan negeri bertukar kepimpinan pada 17 Mei lalu. Ia atas dasar prinsip apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Presiden KFA telah mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar.
Ikut atau ubah tradisi?
Mengikut tradisi yang diamalkan di dalam KFA, calon bagi jawatan itu lazimnya akan diisi oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri sejak beberapa tahun sebelum ini. Adakah KFA akan membuat perubahan kepada perkara ini nanti?
Ini kerana, daripada segi perlembagaan KFA, presiden yang akan dipilih oleh ahli gabungan selepas ini memiliki kuasa mutlak untuk melantik mana-mana tokoh untuk berada di kerusi tersebut dan tiada masalah bagi Radhi Mat Din untuk kembali.
Sebagai merupakan bekas pemain dan lagenda pasukan, serta pernah terlibat dalam pengurusan pasukan Helang Merah ketika di zaman meraih kejuaraan ‘Double Treble’, Radhi Mat Din adalah tokoh yang dilihat sesuai untuk berada di dalam KFA.
Selain memahami selok belok berkaitan arena bola sepak negara khususnya pasukan Kedah dan masih aktif memberi komentar terhadap situasi bola sepak negara, Radhi Mat Din juga merupakan tokoh politik yang mungkin akan membantu pasukan.
Haluan politik
Sebagai ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS), beliau telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Kedah bagi sesi 2019/2021 pada Julai 2019 dan ketika ini, Kedah adalah dibawah pimpinan Menteri Besar baharu yang merupakan tokoh PAS.
Berdasarkan perkara itu, kemungkinan untuk beliau dilantik adalah besar dan dibantu dengan pengalamannya dalam pengurusan bola sepak Kedah sebelum ini.
Dan, sekiranya beliau dilantik, ia tentunya akan memudahkan pihak kerajaan negeri untuk menyalurkan kewangan kepada KFA sekiranya diperlukan. Ini merupakan amalan biasa di dalam Liga Malaysia dimana pengurusan bola sepak daripada ahli politik.
Sebelum ini, pada 2018 dalam PRU ke-14, Radhi Mat Din bertanding atas tiket PAS di Parlimen Pokok Sena berdepan dengan penyandangnya, wakil Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Mahfuz Omar, namun tewas dengan majoriti 5,558 undi.
Pernah julang semua kejuaraan
Jika kini, semua melihat Baddrol Bakhtiar sebagai pemain paling setia untuk bersama Kedah sepanjang karier bola sepaknya, tidak kurang juga Radhi Mat Din ketika di era 90-an dahulu. Kedah merupakan satu-satunya pasukan yang diwakilinya.
Lagenda ketua pasukan Kedah ini beraksi mewakili Kedah sejak skuad B-12, Piala Rahman, Piala Razak, Piala Emas Raja, skuad Semi-Pro, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia disamping pernah juga mewakili skuad negara sejak 1989 hingga 1993.
Namanya sukar untuk dilupakan pencinta bola sepak negeri Kedah apabila telah menyapu bersih semua kejuaraan utama antaranya Piala Sumbangsih (1991, 1994), Piala Malaysia (1990, 1993), Divisyen 2 (1992), Divisyen 1 (1993) dan Piala FA (1996).
Beliau merupakan enjin pasukan dan telah bergandingan bersama Azmi Mahmud, Ahmad Sobri Ismail, Mohamad Ramlee, Lee Kin Hong, Tan Cheng Hoe, Nor Azam Ishak, Andre Luis Almeida Do Nascimento pada era kejayaannya bersama Kedah.
Radhi Mat Din juga merupakan pembantu kepada Azraai Khor Abdullah bersama Ahmad Sobri Ismail dalam merangkul kejuaraan ‘Double Treble’ – Kedah menjadi juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2006/07 & 2007/08.
Masih bersuara mengenai bola sepak
Radhi Mat Din juga tidak pernah lupa dengan arena bola sepak biarpun sudah bersara dan memasuki dunia politik. Antara perkara yang penah disentuhnya adalah mengenai perpindahan Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim lalu.
“Ibarat kita hendakkan anak dara orang, mai la merisik dan meminang elok-elok, bukan bawa lari menikah di Siam. Itu bukan tindakan anak jantan,” tegurnya kepada pihak yang cuba memancing pemain berbakat itu keluar daripada Kedah ketika itu.
Bekas kapten Kedah itu juga pernah bersuara mengenai perjalanan Liga Malaysia di dalam bulan Ramadhan yang baginya tidak sesuai dan akan merugikan semua pihak. Menurutnya, selalunya hasil jualan tiket juga akan terjejas ketika bulan puasa.
Selain itu, beliau turut mengetengahkan perkara yang akan terdapat segelintir pemain yang akan bertindak meninggalkan ibadah puasa semata-mata untuk mengekalkan tahap kecergasan dan kemampuan mereka beraksi ketika di bulan puasa.
“Lagipun, ini liga kita dan kita yang susun jadual, jadi saya tidak nampak masalah untuk kita berkompromi mengenai hal ini,” jelasnya mengenai situasi tersebut.
Penutup
Jadi, adakah Radhi Mat Din masih releven untuk kembali ke KFA sebagai Setiausaha Kehormat? Sebagai lagenda pasukan, masih bersuara mengenai bola sepak serta memiliki hubungan rapat dengan pentadbiran negeri, ia akan membantu.
Dengan situasi kewangan KFA yang meruncing ketika ini, dengan masalah tunggakan gaji sejak Februari lalu, bekas pemain tengah ini dilihat mampu untuk sedikit sebanyak membantu kerana beliau sangat dekat dengan situasi bola sepak.
KREDIT FEATURED IMAGE: THE STAR TV