Manchester United mengesahkan penyerang yang dipinjam dari Shanghai Shenhua, Odion Ighalo akan terus kekal di Old Trafford sehingga penghujung Januari 2021 selepas berjaya mencapai persetujuan dengan kelab Liga Super China itu untuk menambah tempoh pinjamannya untuk enam bulan lagi.
Kontrak pinjaman Ighali sepatutnya tamat pada 31 Mei ini, tetapi Solskjaer amat berterima kasih kepada Shanghai Shenhua kerana membenarkan Ighalo terus beraksi untuk tempoh 8 bulan lagi sehinga 31 Januari tahun depan.
Tenang mengatasi keraguan
Walaupun pada awalnya ketibaan beliau telah menimbulkan persoalan banyak pihak yang meragui kemampuannya, penyerang antarabangsa Nigeria itu akhirnya berjaya menutup mulut pengkritiknya dengan prestasi yang cukup meyakinkan.
Sekalipun sudah lama tidak beraksi di peringkat tertinggi apatah lagi saingan elit seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), Ighalo tidak perlu menunggu lama untuk kembali membiasakan diri dan membuktikan dirinya cukup berbisa di hadapan gol.
Who actually thought Odion Ighalo was capable of goals like this when he first joined Manchester United? 🤔pic.twitter.com/sIMwoTwXRU
— GOAL (@goal) June 1, 2020
Sejak menyertai skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer pada pertengahan Januari lalu, beliau telah pun merekodkan empat gol dan satu bantuan jaringan dalam lapan penampilan,
Sumbangannya amat penting dalam membantu United mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan terakhir mereka. Ianya adalah rekod terbaik United sepanjang musim ini sebelum semua perlawanan ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19.
Ighalo berjaya menampung ketiadaan Marcus Rashford yang diketepikan akibat kecederaan belakang dan kini banyak pihak yang optimis kehadirannya mampu untuk membantu United menamatkan saingan EPL di kedudukan empat terbaik pada musim ini.
Bermain sepenuh hati
Tanpa disangka-sangka, Ighalo kini menjadi pujaan di Old Trafford lebih-lebih lagi buat penyokong United di negaranya kerana Ighalo telah pun mencipta sejarah sebagai pemain Nigeria pertama yang beraksi untuk The Red Devils.
Bagi Ighalo, ianya adalah ibarat mimpi yang menjadi kenyataan memandangkan beliau sendiri merupakan penyokong setia The Red Devils sejak kecil sekalipun peluang itu hadir ketika usianya sudah pun menjangkau 30 tahun. Malah beliau sanggup menerima gaji yang lebih rendah demi mencapai impian dirinya dan keluarga.
Dreams do come true…at least for the guy in the blue.#Ighalo #ManchesterUnited pic.twitter.com/4Wdrhvoccf
— Ed Dove (@EddyDove) February 1, 2020
Kehadiran pemain Nigeria di pentas EPL bukanlah sesuatu yang asing. Nwankwo Kanu, Victor Moses, John Obi Mikel, Aiyegbeni Yakubu, Jay Jay Okocha dan Kalechi Iheanocho telah membuktikan bahawa pemain dari negara Afrika itu mampu menyerlah dan menghadirkan kejayaan. Kini tiba giliran Ighalo untuk menghadirkan impak kepada pasukannya.
Bukan perancangan jangka panjang
Umur bekas penyerang Watford ini akan mencecah 31 tahun pada bulan ini dan agak sukar untuk beliau mengharapkan United akan menandatanganinya secara tetap. Namun ia bukanlah alasan untuk beliau terus memainkan peranan yang penting selagi khidmatnya masih diperlukan.
Solskjaer tentunya lebih mengutamakan pencarian penyerang yang jauh lebih muda dalam menjayakan projek transformasinya di kelab berkenaan. Jurulatih dari Norway itu dikatakan cukup berminat untuk membawa masuk bekas pemain akademi United yang kini sedang beraksi Bournemouth, Joshua King.
Joshua King has been linked with Manchester United for a while now. Back in I believe January. So it’s obvious solskjær has an eye on him.
— Isiah Madrigal (@Realisiah1) May 27, 2020
What do you guys think of the possibility of bringing him in?🤔😅 #MUFC pic.twitter.com/KIRrW3G9SN
Malah dalam sejarah United, jarang-jarang sekali penyerang melebihi usia 30 tahun dikekalkan lebih lama. Lihat sahaja penyerang prolifik mereka seperti Wayno Rooney, Ruud van Nistelrooy, Dimitar Berbatov dan Robin van Persia yang telah meninggalkan Old Trafford apabila telah berusia 30-an.
Kontrak semasa Ighalo bersama Shanghai Shenhua akan tamat pada Disember 2022. Dengan gaji setinggi £300,000 seminggu ketika ini, kelabnya sudah pun memberi bayangan akan menawarkan lanjutan kontrak sehingga 2024 dengan gaji yang jauh lebih lumayan yang dianggarkan sekitar £400,000 seminggu.