Liga Super 2016 akan memasuki hari perlawanan yang ke 19 esok (24 Ogos 2016) dan dan persaingan merebut takhta saingan tertinggi bola sepak Malaysia tertumpu kepada dua pasukan – FELDA United & Johor Darul Ta’zim (JDT).
Hanya dibezakan dengan 4 mata antara kedua-dua pasukan, perlawanan ini adalah peluang terbaik bagi FELDA United untuk merapatkan kedudukan kepada 1 mata.
Itupun jika mereka berjaya memberi kekalahan pertama dalam liga kepada JDT.
Manakala bagi JDT, ini adalah peluang untuk menjarakkan kedudukan kepada 7 mata jika menang.
Dengan liga yang hanya berbaki 3 perlawanan, kemenangan esok penting untuk mematikan langkah FELDA United dalam persaingan merebut takhta liga.
Untuk artikel kali ini, kami sediakan 5 fakta mengenai kedua-dua pasukan.
Rekod pertemuan
Sejak 2013, FELDA United telah bertemu JDT sebanyak 5 kali dalam saingan Liga Super.
Daripada 5 perlawanan, JDT gah dengan 2 kemenangan. Manakala FELDA United hanya pernah menang sekali. Baki 2 perlawanan berakhir dengan seri.
Ini bermakna, kita boleh menjangkakan perlawanan esok akan berlangsung sengit seperti biasa.
Semasa musim Liga Super 2013, pertemuan kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri.
Mereka seri 0-0 ketika bertemu di Selayang. Di Larkin, mereka seri 1-1 pula dengan Hadin Azman (JDT) dan Rudie Ramli (FELDA United) menjadi penjaring.
Pada 2014, mereka tidak bertemu di saingan liga kerana FELDA United bermain di Liga Perdana.
Apabila FELDA United kembali dipromosi ke Liga Super, JDT menang 1-0 di Larkin hasil jaringan Patricio Rodriguez.
FELDA United pula menang 2-1 di Petaling Jaya. Jaringan dihasilkan oleh Shahrul Saad, Indra Putra (FELDA United) dan Luciano Figueroa (JDT).
Untuk musim 2016, JDT menang 2-1 di Larkin hasil jaringan S. Chanturu dan Jorge Diaz. Gol FELDA United dijaringkan oleh Lutfullah Turaev.
Senarai penjaring
Sepanjang 5 pertemuan antara kedua-dua pasukan sejak 2013 dalam saingan Liga Super, 8 penjaring berbeza telah menjaringkan gol.
4 daripadanya pemain FELDA United (Rudie Ramli, Shahrul Saad, Indra Putra dan Luttfulah Turaev). Manakala 4 lagi merupakan pemain JDT (Hadin Azman, Pato Rodriguez, S Chanturu dan Jorge Diaz).
Jorge Diaz dan Francis Forkey Doe adalah penjaring terbanyak bersama Liga Super setakat ini dengan 15 gol.
Dua nama inilah yang perlu diberikan perhatian oleh kedua-dua pasangan pertahanan JDT dan FELDA United esok.
Jurulatih yang terlibat
Sejak 2013, perlawanan ini melibatkan 5 jurulatih yang melatih kedua-kedua pasukan.
Irfan Bakti menjadi jurulatih FELDA United sejak 2013 sehingga kini.
Manakala JDT telah menggunakan 4 jurulatih sepanjang tempoh tersebut. Azmi Mohamed, Cesar Ferrando, Bojan Hodak dan Mario Gomez adalah 4 jurulatih JDT tersebut.
Penguasaan bola
Ketika kemenangan 2-1 JDT ke atas FELDA United dalam aksi Liga Super 2016 di Larkin pada 1 Mac yang lalu, JDT jelas menguasai perlawanan dengan penguasaan bola sebanyak 67% manakala FELDA United hanya menguasai bola sebanyak 33%.
JDT juga menunjukkan dominasi di bahagian serangan dengan 4 percubaan tepat ke arah pintu gol. Manakala FELDA United hanya mempunyai 1 percubaan tepat sahaja.
Menjelang perlawanan penentu kejuaraan Liga Super 2016 esok, kami menjangkakan JDT untuk terus mendominasi perlawanan dari segi penguasaan bola dan serangan.
Dengan ketiadaan Lutfullah Turaev (cedera) di bahagian tengah, Harris Harun (gambar bawah) boleh menumpukan perhatiannya kepada Zah Rahan Krangar sahaja.
Melainkan pemain tengah tempatan FELDA United boleh mengisi kekosongan Lutfullah dengan baik, kami tak dapat melihat perlawanan esok akan dikuasai oleh FELDA United.
Perlaburan kedua-dua pasukan sejak 2013
Tengku Mahkota Johor sering menyebut nama FELDA United sebagai salah satu kelab yang kuat dari segi kewangannya dan mampu mencabar JDT.
Dan ia terbukti menerusi polisi pembelian pemain import kedua-dua pasukan.
Sejak 2013, kedua-dua pasukan telah membeli keseluruhan 21 pemain import. FELDA United membeli 9 pemain import manakala JDT membeli 12 pemain import.
Berikut adalah senarai pemain import bagi kedua-dua pasukan sejak 2013-2016 :
FELDA United
- 2013 – Carlos Junior, Mohammad Ghaddar
- 2014 – Zah Rahan Krangar, Edward Junior Wilson, Yaroslav Krushelnitskiy
- 2015 – Zah Rahan Krangar, Edward Junior Wilson, Ndumba Makache, Bojan Miladinovic
- 2016 – Zah Rahan Krangar, Francis Forkey Doe, Lutfulla Turaev
JDT
- 2013 – Dani Guiza, Simone Del Nero, Leonel Nunez*
- 2014 – Pablo Aimar, Luciano Figeroa, Hariss Harun, Baikhakki Khaizan, Jorge Pereyra Diaz*, Marcos Antonio*
- 2015 – Pato Rodriguez (pinjaman), Alhaji Kamara (pinjaman), Leandro Velazquez (untuk Piala AFC sahaja)
- 2016 – Tiada import baharu dibawa masuk
Nota: Pemain yang mempunyai simbol (*) merupakan pemain yang dibawa masuk pada pertengahan musim.
Ketika JDT lebih mengfokuskan perhatian mereka kepada produk-produk Argentina untuk memperkuatkan pasukannya, FELDA lebih gemarkan produk Liberia dan Australia.
Dari segi kekuatan pemain tempatan, JDT jelas lebih besar pelaburan mereka. Ditambah pula dengan polisi penggiliran pemain yang baik dari Mario Gomez, JDT jauh lebih bersedia menghadapi perlawanan esok berbanding FELDA.
Kesimpulan
Pertemuan malam esok (24 Ogos 2016) ini merupakan pertemuan hidup-mati antara kedua-dua pasukan untuk menentukan siapakah juara liga bagi tahun ini.
Di atas kertas semestinya JDT merupakan pasukan pilihan. Tetapi perlu diingat, FELDA United masih belum pernah kalah lagi di halaman sendiri dalam saingan liga.
Semoga berjaya untuk kedua-dua pasukan!
Baca juga: Survey FFT: 50% Pemain Tempatan Setuju Jurulatih Asing Lebih Bagus, Hanya 7% Bantah