Pemenang kasut emas Piala AFF Suzuki 2010, Safee Sali masih lagi menyimpan hasrat untuk sekali lagi mewakili skuad Harimau Malaya sebelum menamatkan kariernya.
Menurut laporan Berita Harian, pemain yang kini menyarung jersi PJ City itu mengatakan perasaan untuk mewakili negara belum lagi mati dan beliau sentiasa bersedia untuk membantu skuad Tan Cheng Hoe dalam misi ke Piala Asia 2023.
“Saya sedia dipanggil jika diberikan peluang untuk menyumbang kepada negara, keinginan itu masih lagi ada dan tidak pernah padam kerana saya masih lagi aktif bermain.”
Beliau mengatakan yang skuad negara kelihatannya masih mempunyai kekosongan di bahagian penyerang utama jadi beliau tidak menolak sebarang kemungkinan untuk kembali untuk mengisi posisi tersebut.
“Nampak seperti ada kekosongan di posisi penyerang utama, jadi kenapa tidak? Mungkin juga saya boleh menyumbang dari segi sumbangan pengalaman.”
Safee ketika di puncak kariernya dianggap sebagai penyerang terbaik yang dimiliki skuad negara pada era moden. Ketajaman penyudah dan rembatan deras yang dimiliki cukup menggerunkan pihak lawan.
Persembahan cemerlang beliau mewakili skuad negara pada 2010 jelas menjadi antara saat terbaik dalam karier beliau, jaringan Safee di Jakarta dalam perlawanan timbal balik untuk aksi akhir cukup untuk menghadiahkan Harimau Malaya gelaran sulung kejohanan Asia Tenggara.