Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson mengakui kekecewaan yang dialami pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2017/18 bertemu Real Madrid telah menjadi sumber kekuatan buat The Reds untuk menjulang trofi tersebut pada edisi berikutnya.
Tewas dengan keputusan 1-3 di Ukraine, kem Liverpool jelas tidak mahu episod duka itu berterusan ketika bertemu lawan senegara, Tottenham Hotspur di Wanda Metropolitano, Madrid apabila mencatatkan kemenangan 2-0 menerusi jaringan Mohamed Salah dan Divock Origi.
Mengimbas kembali kenangan manis itu, Henderson beranggapan mereka sudah belajar dari kesilapan bertemu Real Madrid dan benar-benar bersedia untuk menghadapi Spurs.
”Ia merupakan perkara yang berturut-turut, jika anda melihat kekalahan ditangan Real Madrid, saingan liga, penyingkiran awal Piala Liga dan Piala FA, kesemuanya kami kalah.”
”Jadi, apabila anda melihat kepada beberapa detik itu, kekalahan yang kami alami merupakan waktu yang sukar buat Liverpool,” ujar Henderson menurut laporan Goal.
”Kami sentiasa memberikan tindak balas dengan cara yang betul dan kami sentiasa berusaha, jadi saya tahu selepas perlawanan terakhir liga, saya yakin bagaimanapun ia akan membantu kami ke final dan tidak akan mengalami kekalahan lagi.”
”Pastinya pada perlawanan di Madrid [menentang Spurs], anda mempelajari banyak perkara terutamanya apabila sekali lagi melangkah ke perlawanan akhir. Saya merasakan kami banyak belajar pada [tewas] perlawanan bertemu Real Madrid,” jelas Henderson lagi.
Susulan dengan kemenangan bermakna di Madrid itu, Liverpool menjulang kejuaraan UCL buat kali keenam sekaligus menjadi pasukan di tempat ketiga terbanyak memenangi piala paling berprestij di Eropah tersebut.
Manakala dalam kalangan kelab Liga Perdana Inggeris, The Reds di tempat pertama dan diikuti pula dengan Manchester United sebanyak tiga kali.