Prestasi cemerlang yang ditampilkan bintang Leicester City, James Maddison telah menarik minat beberapa pasukan untuk mendapatkan khidmat pemain tengah berusia 23 tahun itu pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Antara kelab yang dilihat begitu berminat untuk merekrut pemain kelahiran Coventry itu ialah Manchester United. The Red Devils dikatakan bersedia untuk berbelanja besar bagi merealisasikan kehadiran Maddison ke Old Trafford.
Sekiranya khabar angin ini menjadi kenyataan, kehadiran Maddison dapat memberikan nilai tambah yang cukup berguna dalam memperkasakan Manchester United.
Namun, bagi bekas pemain Leicester City, Emile Heskey, beliau melihat tiada keperluan untuk Maddison melangkah pergi meninggalkan The Foxes.
”Maddison harus melihat pada dirinya sendiri dan mencari di mana laluan kerjayanya. Dia masih muda dengan banyak tahun lagi menanti di hadapan dan banyak perkara yang harus dilakukannya.”
”Dia mempunyai seorang guru yang hebat iaiatu Brendan Rodgers. Tetapi pada satu tahap di mana dia tertanya-tanya di manakah laluan seterus buat dirinya,” ujar Heskey menurut laporan Goal.
”Dia telah sampai sejauh ini di Leicester dan kini apakah jalan seterusnya. Jadi, pada satu tahap dia akan melihat untuk berhijrah ke kelab besar.”
”Pada ketika ini saya tidak melihat mengapa dia tidak boleh kekal lagi dua atau tiga tahun di Leicester. Ketika itu dia baru sahaja berusia 25 tahun,” ujar Heskey lagi.
Maddison berjaya menjaringkan enam gol dan tiga bantuan jaringan dalam 28 pempilannya bagi saingan Liga Perdana Inggeris 2019/20.